KANGAR 3 Mac – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menegaskan kegagalan peminjam tabung berkenaan membayar hutang bakal menjejaskan peluang pelajar-pelajar lain mendapat bantuan agensi tersebut selepas ini.
Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, beliau menasihat para peminjam agar membayar balik pinjaman supaya wang tersebut boleh digunakan untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu yang ingin memasuki institut pengajian tinggi (IPT).
Katanya, seramai 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak membayar pinjaman dengan jumlah sebanyak RM2.6 bilion sejak tabung berkenaan ditubuhkan 21 tahun lalu.
“Kita perlu membayar balik pinjaman untuk membantu orang lain pula yang ingin pinjam. Jika seorang peminjam itu dikecualikan membayar balik pinjaman, bermakna seorang pelajar baharu tidak akan mendapat pinjaman,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Wan Saiful, pihaknya masih mencari formula terbaik bagi meringankan beban peminjam supaya dapat membayar balik hutang selain tidak membebankan mereka.
“Peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk memberi pinjaman telah dipinjam oleh PTPTN daripada bank yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus sedangkan pelajar dikenakan faedah satu peratus sahaja oleh tabung berkenaan.
“Sehingga kini, PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja berjumlah RM12 bilion,” katanya.
Sebelum ini, Wan Saiful yang juga penulis Buku Harapan telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi mereka yang bergaji bulanan bawah RM4,000 seperti yang diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
PTPTN selepas itu mengumumkan akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikuti paras gaji bagaimanapun perlaksanaan itu terpaksa ditangguhkan selepas menerima reaksi negatif daripada orang ramai.- UTUSAN ONLINE











