KOTA BHARU 3 Mac – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, di sini yang hampir ditutup kerajaan terdahulu bukan sahaja dikekalkan, malah dipertingkat kualiti dan peranan supaya dapat menjadi pusat latihan guru-guru dari rantau Indochina.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya membatalkan keputusan sebelum ini selepas meneliti keperluan semasa pendidikan negara serta mendengar pandangan serta bantahan pelbagai pihak terhadap penutupan IPG Kota Bharu.
Kata beliau, langkah memperkasa dan memperluas peranan IPG Kota Bharu hingga ke peringkat antarabangsa pula dibuat selepas mengambil kira kebitaraan institut itu dalam aspek latihan guru serta potensinya yang mampu meningkatkan ekonomi negeri ini.
“Saya secara khusus gembira dengan perkembangan terbaharu IPG Kota Bharu yang kini bukan sahaja kembali menjadi pusat latihan guru dalam negara, bahkan sudah mula melatih guru-guru dari selatan Thailand.
“Hasrat kita ialah supaya IPG Kota Bharu dapat terus berkembang di peringkat antarabangsa sebagai pusat latihan guru negara-negara rantau Indochina seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membuat keputusan menutup IPG Kota Bharu dan menukar fungsinya menjadi Kolej Vokasional namun langkah tersebut mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk warga pendidik, alumni institut itu serta ahli politik di negeri ini. – UTUSAN ONLINE
Berita berkaitan:











