Wan Azizah akui Kerajaan PH ada kelemahan - Utusan Malaysia

Wan Azizah akui Kerajaan PH ada kelemahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH 3 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelemahan berikutan kebanyakan anggota Kabinetnya merupakan muka baharu yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…
 
Menurut beliau, hanya beberapa pemimpin yang merupakan muka lama atau mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan antaranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, katanya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga pernah mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan negeri.
“Memang saya akui kerajaan ada kelemahan, kita tidak sempurna. Saya sendiri akui sebab Kabinet semua muka baharu. 
“Jadi kita perlu lebih realistik, bagaimanapun kita akan cuba perbetulkan keadaan,” katanya ketika berucap pada program Santai Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.
Sementara itu, katanya yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH), usaha untuk memperbaiki sistem yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan mudah dan kerajaan baharu memerlukan sedikit masa untuk melakukannya.
Tambah beliau, Kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan selepas 60 tahun negara di bawah BN dengan bebanan hutang tinggi yang mana jika tidak dibayar boleh menyebabkan Malaysia menjadi negara bankrap.
“Selama 60 tahun kerajaan tidak pernah bertukar, apabila kita (PH) ambil alih, kita tidak ada dana yang mencukupi, ini adalah fakta,” katanya.
Tambah beliau, bukan sesuatu yang mudah untuk PH memperbaiki sistem lama di bawah kerajaan BN apatah lagi dalam tempoh kira-kira lapan bulan selepas merampas tampuk pemerintahan negara.
“Ini bukan alasan, tetapi kita cuba usahakan dengan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, jawatankuasa demi jawatankuasa bagaimana untuk kita dapat turunkan kos sara hidup yang kita lihat membebankan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN