[VIDEO] Penjaja vs DBKL : Tindakan atas aduan orang ramai - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penjaja vs DBKL : Tindakan atas aduan orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mac – Tindakan tegas ke atas penjaja di Jalan Genting Kelang, Setapak di sini, Khamis lalu dilakukan selepas mendapati peniaga berkenaan menyalahgunakan petak parkir awam dan tidak mempunyai lesen menjaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Norhaslinda Nordin berkata, operasi pada 28 Februari lalu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa penjaja berkenaan berniaga di petak parkir sehingga menghalang lalu lintas.

Sehubungan itu katanya, tindakan sita ke atas peralatan milik penjaja berkenaan dibuat di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

“Bagaimanapun, semasa tindakan sitaan dilakukan peniaga tersebut bertindak menghalang dan membuat provokasi ke atas anggota penguat kuasa DBKL yang menjalankan tugas selain membuat ugutan dan ancaman kepadanya,” katanya.

Operasi DBKL yang mencetuskan pergaduhan dengan penjaja berkenaan tular melalui video berdurasi empat minit dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai kecaman dan komen niitzen.

Susulan itu, DBKL telah membuat laporan polis ke atas peniaga terbabit kerana telah menghalang penjawat awam melaksanakan tanggungjawab dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan ke atas diri dan keluarga seorang anggota penguat kuasa.

Norhaslinda berkata, tindakan DBKL terhadap kumpulan peniaga Melayu itu tidak sepatutnya dilihat sebagai ‘perkauman’ namun dibuat bersandarkan undang-undang pihak berkuasa tempatan.

“Pihak kami perlu mengambil tindakan ke atas peniaga yang berniaga tanpa lesen bagi mengelakkan masalah kebersihan dan sebagainya.

“Ini kerana peniaga yang tidak berdaftar sukar dikesan kerana tiada rekod kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN