KUALA LUMPUR 3 Mac – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diharapkan tidak mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana minggu lalu, Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meminta Menteri Kewangan untuk meluluskan projek hospital di Semenyih.
Ujarnya, Dr. Mahathir juga memberi amaran bahawa beliau akan ketuk kepala mana-mana menteri yang tidak meluluskan projek tersebut.
“Oleh itu, saya harap Guan Eng akan luluskan permintaan ini demi kesejahteraan warga Semenyih. Takkan sampai ugutan dari Perdana Menteri untuk diketuk kepala pun Guan Eng tak takut?
“Harap Guan Eng tidak akan berdendam kerana kalah dan tidak akan cuba pindah hospital Semenyih ini ke Rantau nanti,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu bersedia membantu projek berkenaan jika diluluskan oleh Guan Eng sebagai Menteri Kewangan terlebih dahulu. – UTUSAN ONLINE











