SEREMBAN – Bekas Pengerusi MIC Bahagian Rasah, Datuk G.M. Kannan, 79, maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Rasah Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengahari itu, mangsa maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Taman Thivy Jaya semasa kemalangan itu berlaku.
“Kemalangan berlaku semasa mangsa memandu kereta seorang diri dari arah Rasah Jaya. Kereta itu hilang kawalan lalu terbabas memasuki belukar dan melanggar sebatang pokok di sebuah simpang tiga.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hock Poh berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Hamlan Ishak berkata, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jelas beliau, operasi mengeluarkan mangsa itu membabitkan seramai lapan anggota termasuk dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – K! ONLINE











