ALOR SETAR 3 Mac – Taktik dua lelaki warga Thailand menggunakan pas sempadan untuk menangkap ikan di perairan negara sejak 20 tahun lalu akhirnya terbongkar apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di Perairan Tanjung Rhu, Langkawi, semalam.
Dua lelaki berusia 20 dan 36 tahun itu ditahan PPM Wilayah Satu Langkawi di kedudukan 1.8 kilometer dari pantai Tanjung Rhu di sini, kira-kira pukul 4.30 petang.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pas sempadan kedua-dua lelaki yang berasal dari Satun dan Trang itu masih sah, namun mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.
Menurutnya, sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan Op Gelora dengan bot ronda RH9 mengesan sebuah bot nelayan tidak bernombor yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.
“Kita bertindak menahan bot yang dinaiki dua lelaki Thailand tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesalahan yang dilakukan mereka adalah melanggar syarat pas lawatan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di perairan laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rosman, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas sebuah bot fiber, enjin ekor panjang jenama Honda GX390 dan pukat ikan dianggarkan bernilai RM12,000.
Kata beliau lagi, dua lelaki itu bersama bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Marin Bukit Malut untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE











