Berhati-hati haiwan berbisa di musim kemarau - Utusan Malaysia

Berhati-hati haiwan berbisa di musim kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Keadaan kemarau yang melanda sekarang ini, menyebabkan binatang atau serangga berbisa seperti ular, lipan atau kala jengking akan mencari perlindungan di tempat sejuk termasuk di dalam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohd. Hasdi Hussin berkata, berikutan itu orang ramai perlu lebih berhati-hati, kerana kemungkinan terdapatnya binatang berkenaan bersembunyi di dalam kediaman mereka.

“Justeru, saya ingin menasihatkan agar masyarakat lebih berhati-hati dengan kemunculan haiwan-haiwan itu, terutamanya mereka yang mendiami kawasan berhampiran hutan atau membuat aktiviti di kawasan hutan.

“Orang ramai sebaik-baiknya memastikan keadaan persekitaran rumah mereka tidak dipenuhi semak samun agar haiwan tidak menjadikan kawasan itu tempat persembunyian. Kawasan di sekolah juga perlu diberi perhatian kerana boleh membahayakan anak-anak sekolah yang bermain di situ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan perumahan supaya membuang sampah dengan betul kerana jika dibuang di luar tong sampah akan menarik perhatian haiwan liar.

Katanya, haiwan liar seperti babi atau kera biasanya akan keluar mencari makanan di situ dan boleh menyebabkan pertembungan dengan manusia.

“Kita tidak mahu akibat tindakan membuang sampah sesuka hati menjadikan tempat pembuangan sampah sebagai punca kedatangan haiwan liar.

“Lazimnya, sekiranya ada tikus sudah pasti mengundang ular ke kawasan berkenaan. Begitu juga di dalam rumah kediaman, pastikan tidak dijadikan sebagai tempat ular bersembunyi dan mendatangkan bahaya kepada penghuni,” katanya.

Jelasnya, bagi mereka yang melakukan aktiviti luar seperti masuk ke hutan atau mendaki bukit, mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan berlaku pertembungan dengan haiwan liar yang bersembunyi di celah-celah batu atau pokok besar. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN