PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan membuat post-mortem untuk mengkaji punca kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.
Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kekalahan parti tersebut di DUN Semenyih disebabkan oleh kerjasama antara UMNO dan Pas sekali gus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN)
“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kita menang kerana UMNO dan Pas tidak bersama. Mereka tidak berupaya memperoleh angka (jumlah undi) yang bagus, jadi kita menang.
“Sekiranya UMNO dan Pas bersama ketika itu, margin kami adalah kira-kira 1,000 undi. Kali ini, marginnya sebanyak 1,900 dan ini menunjukkan peningkatan dengan wujudnya kerjasama antara kedua-dua parti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2019 di Taman Botani di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Terdahulu, calon BN, Zakaria Hanafi meraih 19,780 undi bagi memenangi PRK Dewan DUN Semenyih semalam.
Zakaria mendapat majoriti 1,914 undi bagi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman yang mendapat 17,866 undi dan calon Bebas iaitu Kuan Chee Heng (725 undi) serta Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (847 undi).
Mengulas lanjut mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua parti itu boleh bekerjasama dalam PRK kerana soal menang dan kalah tidak menjadi kepentingan.
“Dalam PRU, mereka tidak boleh bekerjasama dan sekiranya ia terjadi, Pas tidak akan memperoleh apa-apa manfaat.
“Sebelum ini, Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang datang berjumpa untuk menyokong saya. Dia kata ketua Pas tidak akan berkempen tetapi mereka ada pada hari penamaan calon. Dia janji apa dengan saya ?,” soalnya. – K! ONLINE











