PANDAI memikat wanita sering kali menjadi ‘makanan’ buat atlet lelaki terutama pemain bola sepak bertaraf antarabangsa, namun, tidak bagi penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga yang sebaliknya pandai memikat burung.
Dilahirkan di Ondarroa iaitu sebuah bandar tepi pantai di Sepanyol pada 3 Oktober 1994, Kepa merupakan antara pemain bola sepak profesional yang menikmati zaman kanak-kanaknya secara seimbang.
Sedari kecil lagi penjaga gol kebangsaan Sepanyol itu sentiasa menemani ayahnya memburu burung goldfinch iaitu burung dari Utara Amerika yang gemar berhijrah, kemudian mengajar haiwan tersebut ‘menyanyi’.
Goldfinch adalah burung yang hampir sama dengan burung kenari jika di Malaysia. Goldfinch mempunyai panjang tubuh sekitar 12 hingga 13 sentimeter.
“Sejak dari muda lagi dia sudah mula membantu ayahnya membersihkan sangkar dan memburu goldfinch di belukar,” kata ibu Kepa.
Jangan terkejut, pemain berusia 25 tahun itu mempunyai tiga ekor goldfinch bernama Oker, Rocky dan Raikkonen dengan salah seekornya pernah muncul juara dua kali dalam pertandingan suara burung.
Burung itu adalah Oker setelah memenangi pertandingan serantau iaitu Kejohanan Nyanyian Burung di Vizcaya, Sepanyol pada 2008 dan 2009.
Difahamkan, sehingga ke tahun 2018, ketiga-tiga burung tersebut masih digunakan untuk menyertai pertandingan ‘menyanyi’.
Kisah tentang burung Kepa sebenarnya mudah didapati dalam internet, namun, tidak kepada kisah peribadinya yang sehingga kini masih dalam mode privasi. Siapa nama ibu bapanya dan bilangan adik beradik masih sukar diperolehi.
Begitupun, bekas pemain Athletic Bilbao itu tidak menyorokkan hubungannya dengan teman wanita, Andrea Perez.
Kedua-duanya gemar memuat naik gambar bersama dalam laman sosial di Instagram. Bagaimanapun, latar belakang teman wanitanya itu masih kabur.











