Tambah baik sistem caj kesesakan - Utusan Malaysia

Tambah baik sistem caj kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN kini dalam proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang. Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Memuatkan artikel berkaitan…

Manifesto Pakatan Harapan menyasarkan kepada penghapusan tol lebuh raya di Malaysia. Dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan dan prestasi ekonomi semasa, manifesto penghapusan tol lebuh raya dilihat sukar dilaksanakan. Jadi cadangan pengambil alihan empat tol lebuh raya dilihat sebagai langkah alternatif kepada manifesto penghapusan tol.

Adakah cadangan ini mampu mengurangkan beban kos sara hidup?

Kos perbelanjaan tol rakyat disumbang oleh dua faktor iaitu kadar tol itu sendiri dan penggunaan petrol atau diesel akibat daripada terperangkap dalam kesesakkan. Langkah pengambil alihan konsesi empat lebuh raya bertol ini lebih terarah kepada usaha penggurangan kadar tol.

Langkah ini dijangka hanya mengurangkan sedikit sahaja beban kewangan rakyat yang tinggal di kawasan Lembah Klang. Mengikut cadangan awal, kerajaan akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge) untuk waktu puncak selama enam jam sehari manakala tiada caj dikenakan di antara pukul 11 malam dan 5 pagi.

Pengguna juga dijangka menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Jadi, jika sehari rakyat membayar RM10, maka selepas pelaksanaan cadangan ini, rakyat hanya membayar RM7 sehari iaitu penjimatan sebanyak RM3.

Dari segi liputan faedah mekanisma ini, dijangkakan hanya isi rumah yang tinggal di bandar dan yang menggunakan empat lebuh raya ini sahaja yang akan mendapat manfaat. Waktu tiada caj antara pukul 11 malam hingga 5 pagi pula sekadar memberikan manfaat kepada segmen kecil masyarakat, iaitu petugas syif malam yang lazimnya menggunakan lebuh raya pada larut malam, sebelum pulang ke rumah awal pagi keesokan harinya.

Sebahagian besar isi rumah yang tinggal di bandar-bandar lain dan menggunakan lebuh raya yang berbeza tidak mendapat manfaat. Memperluas mekanisme baharu ke seluruh negara terutamanya di kawasan bandar-bandar sangat diharapkan.

Cadangan mekanisma caj

Terdapat dua cadangan penambahbaikkan kepada sistem caj kesesakan boleh dipertimbangkan. Pertama, kerajaan boleh menawarkan pas bulanan pada kadar diskaun bagi pengguna lebuh raya secara tanpa had penggunaan, langkah ini dilihat lebih berkesan untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

Kedua, kerajaan melaksanakan diskriminasi kadar caj kesesakan mengikut tingkat pendapatan pengguna lebuh raya. Contohnya, golongan isi rumah kumpulan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan membayar lebih murah berbanding dengan kumpulan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20). Cadangan ini sangat efektif di dalam mencapai kumpulan sasaran tetapi kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik bagi membezakan pengguna lebuh raya mengikut kumpulan pendapatan.

Kesimpulannya, walaupun cadangan pengambil alihan tol ini dijangka tidak memberi impak yang signifikan kepada perbelanjaan pengangkutan rakyat, ia dilihat sebagai langkah permulaan yang baik kepada usaha kerajaan mengurangkan beban kewangan rakyat. Rakyat perlu memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai keberkesanan mekanisme ini. Mekanisme ini perlu diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang.

Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof ialah Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN