Pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini bagi memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart mendapat maklum balas positif daripada rakyat bagaimanapun, cadangan kerajaan untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan digantikan dengan caj kesesakan kecuali pada pukul 11 malam hingga 5 pagi menimbulkan persoalan kepada banyak pihak.
Ada berpendapat langkah ini hanya menguntungkan peniaga yang menghantar barangan pada waktu malam dan mereka yang bekerja mengikut syif. Bagi mendapatkan pandangan sama ada cadangan pengambilalihan empat tol ini dan menggantikannya dengan caj kesesakan adalah langkah tepat wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar, ROSNI MASRI menemu bual Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), PROF. DATUK DR. MUSTAFA MOHD. HANEFAH di pejabatnya baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Prof. melihat cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat konsesi tol ini?
PROF: Pembayaran tol memang satu beban kepada rakyat dan juga peniaga kerana ia memberi kesan kepada kos perniagaan, bagaimanapun untuk menghapuskan tol bukan semudah seperti dijanjikan kerana terdapat perjanjian antara kerajaan dengan syarikat terbabit sama ada dengan PLUS Malaysia Berhad (Plus) atau dalam pengambilalihan ini melibatkan Gamuda. Selain itu, mungkin akan wujudnya implikasi kerana syarikat ini adalah syarikat senaraian awam di bursa saham.
Untuk pemansuhan kali ini yang diumumkan melibatkan empat lebuh raya. Semua lebuh raya ini diumumkan tidak dikenakan tol tetapi tidak bermaksud tiada caj lain dikenakan, ia diganti pula dengan caj kesesakan. Caj ini ada waktu tertentu dan menjadi isu kerana pengecualiannya hanya pada waktu malam. Negara lain juga telah mengamalkan konsep ini untuk mengadakan alternatif kepada kutipan tol yang sekarang dikenali sebagai caj kesesakan cumanya adakah wajar dikenakan kedua-dua hala atau sehala sahaja sebab waktu sesak ke Kuala Lumpur adalah pada waktu masuk bekerja dan balik sahaja?
Dari sudut lain pula, pengumuman ini sememangnya ditunggu-tunggu rakyat tetapi bagaimana pula dengan kerajaan? Apakah beban yang perlu ditanggung oleh kerajaan khususnya kepada pembayar cukai? Kerajaan perlu membayar balik kepada syarikat konsesi ini bagaimanapun kadarnya bergantung kepada perjanjian antara kerajaan dan syarikat. Setakat ini kerajaan tidak mendedahkan butiran lanjut, jadi kita tidak tahu berapa nilai sebenar dan implikasi kos untuk mengambil alih lebuh raya berkenaan.
Cuma Menteri Kewangan sudah memberi anggaran bayaran pampasan sebanyak RM5.3 bilion dan pengguna bakal menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun daripada tol tidak dibayar digantikan dengan caj kesesakan. Ini diumumkan oleh beliau berdasarkan apa manfaat untuk rakyat tetapi soalannya daripada mana kerajaan mendapat duit untuk membayar semula kepada Gamuda dan berapa kos keseluruhan keempat-empat lebuh raya ini,
Persoalan lain, bagaimana caj kesesakan ini hendak digunakan. Ini pun masih dinantikan oleh rakyat. Sebelum ini ketika kerajaan Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) kosnya tetap naik. Ini kerana Gamuda dan syarikat-syarikat ini tersenarai dalam bursa dan mereka tidak mahu rugi malah, ketika pengumuman ini dibuat saham Gamuda juga telah jatuh. Perbincangan bersama Gamuda akan mengambil masa panjang bukan setakat enam bulan seperti yang diumumkan sama seperti kes Splash, jadi saya tidak rasa perkara ini akan dapat diselesaikan tahun ini juga, mungkin setahun atau dua tahun lagi sebab mereka perlu memikirkan punca pendapatan pada masa hadapan dan lain-lain.
Jadi bagaimana implikasi kewangan kepada kerajaan?
PROF: Isu ini adalah tanggungan kerajaan dan pembayar cukai, akhirnya pembayar cukai yang kena bayar balik untuk Gamuda secara tidak langsung, atau pun kerajaan hendak usulkan satu lagi jenis cukai. Cukai merupakan isu besar tiada siapa yang suka cukai tetapi apabila cukai digunakan dengan betul dan rakyat tahu ia digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan lebuh raya, rakyat boleh faham. Saya melihat di negara eropah khususnya, tiada tol dikenakan di lebuh raya di sana tetapi cukai nilai tambah (VAT) atau dikenali cukai barang dan perkhidmatan (GST) di Malaysia cukup tinggi. Duit ini digunakan untuk penyenggaraan lebuh raya dan sebagainya.
Selain itu, Malaysia juga perlu mempunyai alternatif kepada penggunaan lebuh raya, seperti penyediaan pengangkutan awam yang membolehkan rakyat menggunakannya untuk masuk dan keluar dari Kuala Lumpur.
Ada berpendapat pengambil alihan empat lebuh raya ini hanya menguntungkan golongan peniaga dan beberapa golongan lain kerana mereka tidak perlu membayar caj pada waktu ditetapkan,
PROF: Memang betul banyak lori dan bas ekspres bergerak pada waktu malam dan tidak perlu lagi membayar tol tetapi persoalannya berapa banyak daripada mereka yang masuk ke Kuala Lumpur pada waktu itu. Sebaliknya, lori bergerak di seluruh Malaysia, tol yang dihapuskan hanya di Kuala Lumpur malah kebanyakan mereka bergerak menggunakan lebuh raya Plus dan implikasinya mungkin tidak seberapa tinggi, mungkin yang lebih mendapat manfaat ialah peniaga kecil untuk menghantar barang dan pekerja syif malam tetapi ini pun tidak ramai. Jadi, hendak kata secara umum peniaga berskala besar mendapat keuntungan tidak berapa tepat.
Jadi bagaimana dengan penghapusan tol ini akan dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat bukan satu atau dua golongan ini sahaja?
PROF: Waktu tiada tol ialah 11 malam hingga 5 pagi, masih ada yang bekerja mengikut syif, sememangnya tidak patut dikenakan apa-apa caj waktu itu sebab masa itu tiada pengangkutan awam. Bagaimanapun, mungkin boleh dikaji semula mengenai caj kesesakan berapa kadar perlu dikenakan.
Bagaimana dengan harga makanan dan keperluan lain, adakah akan turun juga?
PROF: Rakyat selalu melihat apabila tol dihapuskan harga barangan keperluan harian akan turun sebab berpendapat pengangkutan sudah menjadi murah tetapi ia tidak berlaku seperti ini sebab ada faktor-faktor lain, tol cuma satu faktor antara faktor lain adalah harga minyak diesel semasa, harga diesel lagi mahal daripada petrol, pada masa sama kos import barangan juga agak tinggi disebabkan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Untuk masa hadapan adakah perlu lebih banyak tol dihapuskan dan kawasan mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu berdasarkan keadaan sekarang?
PROF: Kerajaan sebelum ini mengumumkan ia akan dihapuskan secara berperingkat cuma persoalannya adakah dalam tempoh lima tahun ini? Kalau hendak ambil alih Plus kos mungkin tinggi sekitar RM50 bilion atau lebih, banyak perkara perlu dilihat sebelum rundingan dibuat. Selain itu, perlu juga difahami siapakah pemilik saham dalam Plus, saham Plus dimiliki oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jadi adakah dengan menjual Plus, KWSP boleh memberi pulangan dividen yang tinggi seperti dinikmati sekarang.
Selain isu pengecualian tol, ada pihak juga mempersoalkan mengenai penggunaan istilah caj kesesakan yang tidak tepat kerana maksud caj ini ialah untuk mengurangkan kesesakan di jalan raya, perlukah ia ditukar ?
PROF: Istilah caj yang digunakan ialah kesesakan, isunya kalau yang tidak masuk Kuala Lumpur waktu pagi adakah akan dinamakan caj kesesakan, jadi kerajaan kena kaji semula seperti mengenakan caj untuk laluan sehala sahaja ketika waktu puncak.
Adakah penggunaan istilah yang berlainan daripada istilah sepatutnya digunakan memberi kesan dari sudut ekonomi?
PROF: Biar apa pun istilah yang diberikan caj tetap caj, cuma adakah perlu dikenakan dua hala serentak atau permudahkan rakyat dengan hanya mengenakan caj untuk satu hala sahaja? Persoalan lain, adakah caj ini akan dikenakan juga kepada penunggang motosikal sebab sebelum ini motosikal tidak dikenakan caj.
Tempoh konsesi lebuh raya mempunyai tempoh masa tetapi caj kesesakan tiada tempoh masa, bagaimana Prof. melihat situasi ini?
PROF: Katakan jika konsesi tol telah tamat, bagaimana isu penyenggaraan jalan? Ini belum lagi menyentuh jika jalan berlubang dan kesesakan jalan disebabkan lorong tidak mencukupi. Caj kena ada tetapi diminimumkan.
Untuk penambahbaikan pada masa hadapan apakah cadangan atau idea yang boleh Prof. kongsikan?
PROF: Kalau lebuh raya bertol perlu dihapuskan ia perlu dibuat secara berperingkat, penghapusan ini akan memberi manfaat dengan dapat mengurangkan kos pengangkutan dan perniagaan. Selain itu, isu lain yang perlu dibincangkan adalah mengenai kaedah alternatif lain, bagi yang bekerja di Kuala Lumpur mungkin mereka boleh menggunakan pengangkutan awam tetapi bagaimana pula dengan pengguna yang bergerak dari utara ke selatan apakah alternatif atau laluan yang ada untuk mereka? Saya menyarankan agar Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat disiapkan secepat mungkin untuk mengurangkan kesesakan di lebuh raya Plus terutama semasa cuti perayaan dan cuti sekolah. Jadi perlu ada alternatif seperti ini.
Selain itu, kerajaan juga perlu menyemak semula kadar gaji memandangkan kos sara hidup yang tinggi, jika ambil contoh lepasan institusi pengajian tinggi sekarang gaji permulaan mereka lebih kurang sama dengan gaji 20 tahun dahulu. Kita banyak pandang pada kos tetapi pendapatan perlu seiring dengan kos.











