Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk dengan pelbagai agama. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, sekali lagi menekankan berkaitan kepelbagaian ini dengan menyatakan bahawa semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan kaum.
Dengan kepelbagaian ini, undang undang berkaitan hal sensitiviti ini telah lama wujud di negara ini contohnya: Di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 298 dan Seksyen 298A.
Seksyen 298, menyebut perkataan-perkataan dan sebagainya dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang.
Sementara itu, Seksyen 298A pula menyebut – Menyebabkan dan sebagainya di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.’
Bagi Seksyen 298 terdapat banyak kes yang telah didakwa sebelum ini bagi kesalahan seumpama ini.
Contohnya, pada 2017 seorang suri rumah dikenakan hukuman penjara kerana menghina Nabi dan dijatuhkan hukuman selama enam bulan penjara dan denda sebanyak RM15,000.
Namun jika kita lihat pula Seksyen 298A, walaupun ia adalah satu kesalahan yang nampak sangat mudah namun ia pernah dicabar di Mahkamah Persekutuan yang mengatakan bahawa Seksyen 298A ini adalah terbatal kerana Seksyen 298A yang digubal adalah berkaitan perkara yang di luar bidang kuasa Parlimen dan ia seharusnya digubal oleh Dewan Negeri.
Isu ini pernah diputuskan di dalam Kes Mamat Daud & Ors lawan Kerajaan Malaysia (1998) 1 CLJ (Rep) 197 dan seterusnya diikuti di dalam kes Tan Jye Yee & Ors lawan Pendakwa Raya.
Keputusan ini dibuat kerana undang-undang berkaitan agama Islam hanya boleh dilakukan oleh Dewan Negeri kerana perkara agama Islam adalah di bawah kuasa dan seliaan negeri-negeri dan jika dinilai keseluruhan Seksyen 298A Kanun Keseksaan ini ia adalah berkaitan agama dan bukannya berkaitan ketenteraman awam, keselamatan dalam negeri atau undang undang Jenayah sebagaimana yang ditetapkan di bawah Artikel 11 klausa 5 Perkara (3) dan (4) List 1 Jadual Kesembilan.
Mahkamah di dalam Kes Mamat Daud menyatakan seperti berikut:
“(1) a declaration that s. 298A of the Penal Code is a law with respect to a matter with respect to which Parliament has no power to make law, and (2) a declaration that s. 298A of the Penal Code is invalid and therefore null and void and of no effect…”
Terjemahan – Bahawa deklarasi Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah undang-undang yang mana Parlimen tiada kuasa untuk mengubalnya (2) deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak sah. Oleh itu, ia batal dan tidak sah.
Begitu juga di dalam kes Tan Jye Yee & Ors lawan Pendakwa Raya yang mana tertuduh telah membuat satu status dalam akaun Facebooknya yang ditulis:
“Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh … wangi, enak menyelerakan!!! .. Izinkan kami memperkenalkan cara kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini. Hak untuk menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan Salam Aidilfitri.” Dan memuat naik gambarnya memakan Bah Kut Teh dengan tanda logo halal.
Namun keputusan mahkamah adalah sama seperti kes Mamat Daud atas dasar Seksyen 298A Kanun Kesiksaan adalah batal dan tidak sah. Walaupun begitu masih banyak undang-undang yang mampu mengawal berkaitan isu ini.
Akta Hasutan juga adalah satu undang undang yang boleh digunakan bagi perkara perkara yang mencabar isu-isu yang sensitif berkaitan agama.Contohnya, seorang lelaki, Hidayat Muhammad telah dituduh dibawah Akta Hasutan kerana telah memuat naik dalam Facebooknya berkaitan dengan menghina upacara Thaipusam.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang sering digunakan oleh pihak berkuasa adalah satu peruntukan yang agak luas pemakaiannya. Seksyen 233. (1) Seseorang yang
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan suatu kesalahan.
Selain undang undang yang tegas dan jelas tindakan penguatkuasaan yang pantas amatlah diperlukan agar apa-apa perkara yang melanggar sensitiviti agama ini dapat dicantas daripada awal . Ini penting supaya ia tidak merebak sehingga tidak dapat di kawal. Tidak perlu membuat beratus-ratus laporan polis untuk mendesak tindakan segera diambil.
Oleh itu, penggunaan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menjaga keamanaan dan keharmonian negara tanpa menggubal apa apa undang undang baharu.
PENULIS ialah Pengamal undang-undang.











