Bandar puntianak Salem’s Lot wujud? - Utusan Malaysia

Bandar puntianak Salem’s Lot wujud?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Drama bersiri bergenre seram Hollywood, Salem’s Lot adalah antara drama paling diminati sekitar awal tahun 80-an yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan dan luar negara berkisar tentang penduduk bandar itu yang bertukar menjadi puntianak.

Drama yang diadaptasi daripada novel tajuk sama, karya Stephen King memaparkan banyak adegan cemas dan mendebarkan malah sukar dilupakan penonton terutama ketika sekumpulan puntianak yang diketuai Kurt Barlow (lakonan Reggie Nalder) berkeliaran setiap malam dan mengintai rumah penduduk untuk mencari mangsa.

Salem’s Lot mengisahkan seorang penulis bernama Ben Mears (lakonan David Soul) kembali ke kampungnya, Salem’s Lot, di Maine selepas 25 tahun semata-mata untuk menulis buku tentang sebuah rumah terbiar, Marsten House, rumah yang memberi banyak pengalaman buruk dan misteri kepadanya semasa kecil.

Selain drama terbitan 1979 itu, sekuel drama berkenaan A Return to Salem’s Lot turut diterbitkan pada 1987 selain pada 2004 versi baharu siri Salem’s Lot disiarkan dengan mengetengahkan pelakon utamanya, Rob Lowe sebagai Ben Mears.

Ketika disiarkan, ramai penonton yang percaya bandar puntianak ini benar-benar wujud malah menyebut sahaja nama Salem pasti ramai yang akan terus memikirkan bandar berhantu itu.

Namun hakikatnya bandar Salem’s Lot hanyalah sebuah bandar fiksyen yang turut dikenali sebagai Jerusalem’s Lot manakala penggambaran drama itu pada 1979 dilakukan di bandar Ferndale, Humbolt di utara California.

King mengakui kisah dan kawasan Salem’s Lot diilhamkan daripada pengalamannya yang membesar di bandar Durham, Maine terutama di kawasan Methodist Corner namun nama Marsten House adalah nama sebenar sebuah rumah di kawasan itu yang sering dikunjungi penulis berkenaan dengan rakan-rakan sewaktu kecil.

Di Amerika Syarikat (AS) sebenarnya terdapat lebih 26 bandar yang mempunyai nama Salem namun tiada satupun bandar ini yang mempunyai kaitan dengan kewujudan puntianak atau bandar Salem’s Lot itu sendiri.

Cuma terdapat sebuah kawasan dikenali sebagai Salem Village berhampiran bandar Salem, di Essex County, Massachusetts yang banyak dikaitkan dengan unsur-unsur sihir.

Malah kawasan ini yang kini dikenali sebagai Danver terkenal sehingga ke hari ini tentang kisah perbicaraan ahli sihir yang berlaku pada 1692.

Pada musim bunga tahun itu, sekumpulan remaja perempuan di Salem Village mendakwa telah dirasuk syaitan dan menuduh beberapa wanita di kawasan itu mengamalkan sihir.

Kejadian histeria merebak dengan cepat di sekitar Massachusetts sehingga mendorong pihak berkuasa menubuhkan sebuah mahkamah khas di bandar Salem untuk mendengar kes berkenaan.

Seorang hamba abdi dari Carribean, Tituba bersama-sama dua wanita peminta sedekah, Sarah Good dan Sarah Osborn dituduh menyihir remaja perempuan berkenaan.

Good dan Osborn menafikan tuduhan itu namun Tituba mengaku mengamalkan sihir dengan tujuan melepaskan dirinya sekali gus bertindak sebagai pemberi maklumat kepada pihak berkuasa.

Wanita berkenaan juga mengheret beberapa wanita lain ke mahkamah dengan mendakwa mereka turut mengamalkan ilmu sihir bersama-samanya.

Seorang wanita bernama Bridget Bishop yang didakwa sebagai ahli sihir ialah individu pertama dihukum gantung sampai mati pada Jun tahun berkenaan di Gallows Hill, Salem diikuti oleh 18 lagi individu lain yang menerima nasib sama.

Tujuh lagi individu yang dituduh sebagai ahli sihir mati di dalam penjara manakala seorang warga emas lelaki, Giles Corey dihukum mati dengan cara menekan batu di atas tubuhnya selepas dia enggan mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan.

Dalam tempoh beberapa bulan, seramai 150 orang termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak turut dituduh melakukan amalan sihir namun menjelang September kejadian histeria semakin berkurangan manakala perbicaraan tersebut mendapat tentangan terbuka daripada orang ramai.

Kini bandar Salem di Massachussets itu terkenal sebagai lokasi pelancongan dan bandar ahli sihir malah kereta peronda polis di bandar itu turut memaparkan logo ahli sihir.

Sebuah sekolah rendah dinamakan sebagai Witchcraft Heights manakala pasukan olahraga Salem High School menggelar pasukan mereka sebagai Witches selain bandar itu juga menempatkan ibu pejabat sebuah organisasi yang dikenali sebagai The Satanic Temple.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×