Asalkan dia buat kerja! - Utusan Malaysia

Asalkan dia buat kerja!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHU waktu kerja anjal atau waktu kerja biasa? Tetapi yang lebih utama dan penting saya rasa, tidak kira waktu bekerja apa yang disyorkan untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada pekerja, persoalannya, adakah pekerja itu betul-betul buat kerja?

Memuatkan artikel berkaitan…

Kalau masuk awal pagi pukul 7.30, tetapi mengantuk. Menguap dekat 50 kali. Duduk di meja kerja dan tutup mata sekejap kononnya. Pukul 8.30 atau 9 pagi baru hendak capai fail kerja, adakah itu yang dikatakan waktu kerja anjal? Terkocoh-kocoh dari rumah mahu mengejarkan punch card supaya kedatangan nampak cantik saja waktu masuk kerja dan pulang, tapi bila dicari orangnya tiada, ke manakah gerangan dia menghilang? Pun satu hal juga.

Kaedah waktu kerja anjal sudah lama diamalkan oleh beberapa negara maju. Ia selalunya dirangka memang sudah cukup cantik, kerana selain memudahkan pekerja, waktu kerja ini ditawarkan untuk menarik ramai orang bekerja dalam sesebuah organisasi itu. Selalunya kerana mahukan penyertaan lebih ramai golongan muda atau pekerja wanita.

Bermula Jumaat lalu, penjawat awam yang bekerja di kementerian dan jabatan Persekutuan yang mengikut waktu kerja di pejabat dibenarkan bekerja mengikut waktu anjal atau dipanggil Waktu Kerja Fleksi (WKF). Entah kenapa panggil fleksi sedangkan ada perkataan bahasa Melayu iaitu anjal, saya pun tak faham. Selalunya bank-bank atau pusat beli-belah sahaja suka guna perkataan fleksi ini untuk produk-produk mereka. Kalau sektor kerajaan pun tidak mahu mengagungkan bahasa kebangsaan negara ini, tak tahu nak cakap apa lagilah.

Berbalik pada waktu kerja anjal, kawan-kawan penjawat awam saya yang terlibat, memberikan respons yang positif.

“Okeylah, taklah kelam-kabut hendak kejar punch card. Masuk awal, balik awal. Kira-kira 70 peratus rasa stress hilang,’’ katanya.

Dalam satu pekeliling yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penjawat awam boleh memulakan tugas antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi dan menamatkan waktu bekerja antara pukul 4.30 petang hingga 5.30 petang, asalkan mereka bekerja selama sembilan jam.

Waktu anjal ini terpakai bagi penjawat awam yang bekerja di Wilayah Persekutuan, Perlis, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak. Sementara itu, penjawat awam yang bekerja di Johor dan Terengganu, yang mempunyai masa bekerja berbeza – mereka boleh memilih untuk bertugas di antara pukul 7.30 pagi dan 8.30 pagi. Dari Ahad hingga Rabu, mereka boleh menamatkan kerja antara 4.30 dan 5.30 petang dan balik pada pukul 3 hingga 4 petang pada Khamis asalkan bekerja selama tujuh jam setengah.

Tetapi apabila ada pihak yang mengatakan bahawa waktu kerja anjal ini dapat mengekang penjawat awam daripada mengular, pada saya waktu kerja bukan jawapan untuk mengatasi isu ponteng kerja. Tak kiralah penjawat awam atau pekerja swasta, bagilah waktu kerja macam mana anjal pun, kepada pengular tegar mereka tetap mengular jika tiada pemantauan.

Dan di sini saya ingin menyuarakan, tidak adil kita asyik mengaitkan penjawat awam dengan sindrom mengular. Sektor ini sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu. Kaunter perkhidmatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen, mereka sudah cekap dan komited bekerja. Tengoklah di Pusat Transformasi Bandar (UTC). Mereka melayan pelanggan dengan berhemah dan sabar. Janganlah memandang rendah keupayaan penjawat awam kita. Disebabkan isu intergriti, birokrasi yang dibuat pihak atasan dan pemalas segelintir mereka, penjawat awam dicemuh dan diperlekeh. Hargailah sumbangan mereka.

Isu mengular bukan mutlak jatuhnya kepada penjawat awam saja. Ia adalah sikap semua orang terhadap kerja. Bagi sesetengah pekerja, mereka hanya fikir mahu masuk kerja awal hari ini supaya boleh balik cepat. Hal kerja, buat lebih kurang. Cincai atau hentam kromo saja. Cukup masa, baliklah.

Yang pekerja swasta pula, banyak mengular dengan melayari internet. Kalau kita lalu di belakang mereka, boleh dikatakan daripada 10 pekerja, tujuh sedang membuka laman sosial, kononnya sambil buat kerja. Ini pun boleh masuk kategori tuang kerja juga. Tidak fokus dalam bekerja.

Mungkin WKF ini dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya atau mengurangkan rasa stress pekerja berebut-rebut naik lif sehingga mengambil masa sampai 20 minit baru dapat masuk ke pejabat, Tetapi untuk menjamin produktiviti adakah WKF jawapannya? Macam saya kata tadi, bagilah waktu kerja paling anjal dalam dunia pun, sikap pekerja yang jadi penentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN