LONDON 2 Mac – Hasrat Tottenham untuk melakar kemenangan dalam pertembungan derby London tidak kesampaian apabila mereka sekadar seri 1-1 menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Aaron Ramsey pada minit ke-16 selepas menerima bantuan daripada Alexandre Lacazette. Bagaimanapun, Spurs berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74 hasil sepakan penalti penyerang England, Harry Kane.
Arsenal berpeluang untuk membawa pulang tiga mata selepas The Gunners dihadiahkan penalti pada minit terakhir permainan bagaimanapun Pierre-Emerick Aubameyang mensia-siakannya. The Gunners terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Lucas Torreira dilayangkan kad merah pada minit ke-90.
Keputusan seri itu menyaksikan Spurs kekal di tangga ketiga dengan 61 mata manakala Arsenal di tempat keempat, kurang empat mata. – AGENSI











