USIK mengusik dan gelak ketawa menghiasi pertemuan yang julung kalinya membabitkan gandingan bersama Afieq Shazwan, 22, dan Wani Kayrie, 19, baru-baru ini.
Keserasian jelas tercipta kelihatan antara kedua-dua penyanyi remaja ini. Masing-masing juga tidak boleh duduk berdekatan antara satu sama lain. Pasti seorang daripada mereka menjadi mangsa gurau.
Tingkah laku yang dipamerkan itu mengiyakan istilah ‘teman tapi mesra’ yang merujuk tahap hubungan mereka kepada umum. Langsung tiada rasa kekok untuk mempamerkan kemesraan yang telah dibina.
“Dalam sehari, kalau tak kenakan dia memang tak sah hidup. Ada saja idea dalam kepala nak mengacau dia. Kalau dia kacau saya dalam mesej atau masa bercakap dalam telefon, siaplah dia nanti.
“Masa jumpa, saya akan kenakan dia habis-habisan untuk membalas dendam. Tapi jangan salah sangka, ini adalah cara kami bergurau,” kata Afieq berterus-terang cara dia ‘menawan’ Wani.
Mengenali antara satu sama lain sejak kecil sememangnya memudahkan hubungan yang tercipta. Penglibatan dalam bidang hiburan tempatan mendorong keselesaan masing-masing untuk berkongsi masalah mendatang.
Buat masa sekarang, penyanyi lagu Jangan Jangan itu adalah kawan perempuan yang paling rapat dengan Afieq. Lelaki ini mengakui dia selesa berdampingan dan bertukar pandangan dengan gadis itu.
“Terlalu awal untuk menjangkakan hala tuju hubungan ini kerana kita tak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan. Saya juga enggan menaruh harapan tinggi dalam hal ini.
“Kalau benar Wani adalah jodoh terbaik, saya terima dengan hati terbuka. Apa pun semua ini masih terlalu awal untuk dibicarakan,” kata pelakon drama Elly & Epit ini.
Hubungan cinta Afieq-Wani diperkatakan selepas masing-masing menyertai pertandingan nyanyian realiti tahun lalu. Dek kerap menyanyikan semula lagu popular secara berduet, mereka dikatakan bercinta tidak lama kemudian.
Permintaan daripada peminat yang berterusan menginginkan mereka menyanyi lagu bersama mendorong kepada gosip cinta pasangan penyanyi ini.
Belajar dulu!
Komitmen cinta dikhuatiri bakal mengikat perjalanan kerjaya Wani kerana dia mempunyai pelbagai perancangan yang perlu diuruskan. Oleh itu, urusan tersebut perlu ditangguhkan seketika.
Tambahan pula dia bakal melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor, Wani tidak boleh main-main.
Wani bakal menjalani pengajian asasi di universiti berkenaan selama setahun bermula bulan depan. Selepas itu, baharulah dia melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
Untuk itu, penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini perlu memberi perhatian serius untuk tujuan itu tambahan pula urusan berkenaan sudah tertangguh sejak setahun lalu.
“Saya perlu mengetepikan soal cinta ini buat sementara waktu kerana ada banyak perkara penting yang perlu didahulukan. Antaranya, urusan menyambung pelajaran yang tidak boleh dipandang mudah.
“Lagipun guaman itu bukan satu bidang yang mudah. Saya kena menelaah dan membuat persiapan rapi sebelum masuk ke bilik kuliah nanti,” katanya.

Pada waktu rakan-rakannya menyambung pelajaran selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, Wani sebaliknya memilih untuk serius dalam bidang nyanyian.
Walaupun dia mendapat keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan itu, tetapi dia perlu menangguhkan hasrat untuk menyambung belajar seketika.
“Saya mendapat banyak respons kurang memberangsangkan selepas menangguhkan urusan berkenaan. Ada yang kata saya sengaja berbuat demikian, gila glamor, lupa diri dan macam-macam lagi.
“Walhal saya ada perancangan tersendiri. Mana yang penting didahulukan dan terokai bidang berlainan supaya perjalanan kerjaya kita itu semakin berwarna-warni selepas ini,” katanya.
Selain pertandingan nyanyian realiti Big Stage, Wani turut menyertai pertandingan D’Academy Asia musim keempat (DAA4) di Jakarta, Indonesia tahun lalu.
Walaupun tidak menjuarai kedua-dua pertandingan namun anak kelahiran Sabah ini mendapat banyak pengalaman menerusi penyertaan tersebut.
Bercinta atau tidak?
Yang mana satu betul ini, kalian berdua ini bercinta atau tidak? Baik mengaku cepat.
Wani: Tidak. Belum sampai ke peringkat itu lagi. Kami selesa pada tahap berkawan rapat sahaja.
Afieq: Saya ikut Wani. Apa yang terbaik buatnya, maka baiklah untuk saya. Kalau dia selesa, saya 1,000 kali selesa.
Lain macam jawapan Afieq. Tak takut ke buah hati kena rampas dengan lelaki lain masa dia belajar nanti?
Afieq: Saya memahami situasi yang sedang dialaminya sebab kami kerap bertukar cerita peribadi dari masa ke semasa. Lagipun buat masa sekarang, saya maklum tentang darjat cinta kami. Dia ada misi tersendiri dalam hidup, nak kejar apa yang diinginkan dalam hidup. Sebagai kawan baik, sudah pastilah saya memberi sokongan padu buatnya. Lagipun urusan menggenggam ijazah ini bukan satu perkara mudah. Proses itu memakan masa bertahun juga. Takkanlah saya nak paksa dia terima saya dan mengetepikan urusan penting berkenaan. Bab rampas cinta kalau dia di menara gading itu nanti, tak nak komenlah sekarang. Kita tak tahu apa yang berlaku pada masa depan.
Takkanlah pasal darjat cinta yang katanya tidak setaraf antara kalian buat Wani pinggirkan Afieq?
Wani: Bukan macam itu. Saya sudi sahaja untuk menerima sesiapa dalam hidup. Apatah lagi Afieq yang satu kepala dengan saya. Kami boleh bersama disebabkan cara pemikiran yang lebih kurang sama. Tapi apabila masuk bab bercinta, ia boleh direalisasikan, tapi bukan masa sekarang. Kita masih muda dan ada banyak lagi yang perlu dikejarkan waktu sekarang ini. Sebab itu saya memutuskan untuk memendamkan seketika soal hati ini hingga tiba waktunya nanti. Lagipun saya percaya Afieq juga diminati ramai gadis di luar sana. Dia kan lelaki hot! Pasti ramai gadis sedang beratur untuk memikatnya.











