DIANGKAT sebagai filem terbaik Anugerah Academy (Oscar) pada tahun ini, Green Book berjaya membuktikan ia adalah sebuah naskhah yang luar biasa dan tidak cuma terpalit dengan kontroversi semata-mata.
Merupakan sebuah filem berdasarkan kisah benar mengenai pemuzik terkenal bernama Don Shirley, Green Book sebelum ini dikritik hebat kerana dianggap sebuah naskhah yang tidak tepat.
Bahkan, keluarga Shirley sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa filem arahan Peter Farelly itu umpama sebuah simfoni yang penuh dengan penipuan.
Meletakkan ikon Freddy Mercury sebagai titik tumpu penceritaan, Bohemian Rhapsody memenangi empat anugerah Oscar dan menyaksikan Rami Malek merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik tahun ini.
Biarpun dihujani dengan kritikan di kiri dan kanan, seluruh produksi Green Book tetap mampu tersenyum selepas Oscar menobatkan tiga anugerah bagi mengangkat filem biografi itu.
Selain filem terbaik, kejayaan Green Book turut diraikan menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik oleh Mahershala Ali serta Anugerah Lakon Layar Terbaik Oscar.
Kemenangan itu turut menyaksikan Mahershala Ali yang memegang watak Dr. Shirley menggenggam Anugerah Oscar buat kali kedua selepas filem Moonlight pada tahun lepas.
Sekurang-kurangnya kemenangan Mahershala itu amat berbaloi kerana menurut aktor itu, Shirley adalah watak paling sukar dilakonkan olehnya setakat ini.
Oscar kali ke-91 tahun ini juga menyaksikan kemenangan besar turut diraih produksi filem biopic Bohemian Rhapsody yang dihasilkan berdasarkan perjalanan seni kumpulan legenda Queen.
Meletakkan ikon Freddy Mercury sebagai titik tumpu penceritaan, Bohemian Rhapsody memenangi empat anugerah Oscar dan menyaksikan Rami Malek merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik tahun ini.
Ia kemudian disusuli dengan kemenangan untuk Anugerah Suntingan Filem Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik termasuk Penata Bunyi Terbaik.
Sama seperti Green Book, Bohemian Rhapsody juga banyak terpalit dengan kontroversi.
Merupakan antara filem hit tahun 2018 dengan kutipan keuntungan mencecah AS$850 juta (RM3,462,475,000.00), naskhah ini pernah mencetuskan kontroversi apabila berlaku pertukaran pengarahnya.
Pada asalnya diarahkan oleh Bryan Singer, dia kemudiannya dilucutkan jawatan kerana gagal muncul di set penggambaran.
Kerusinya kemudian diganti dengan Dexter Fletcher namun nama Bryan tetap diberikan kredit untuk filem itu.
Kekusutan tidak terhenti di situ. Pada Januari lalu, Bryan dihimpit dengan kontroversi panas apabila dia didakwa terlibat dalam kes cabul dan seksual kanak-kanak lelaki di bawah umur.
Kemenangan Bohemian Rhapsody juga diingati ramai kerana kata-kata ucapan Rami pada malam itu dan antaranya berbunyi begini.
“Kita telah menghasilkan sebuah filem hebat seperti ini, paling utama mengenai seorang ikon seperti Freddy Mercury.
“Dalam pada saya meraikan kejayaan Freddy dan kisah hidupnya pada malam ini dengan anda semua, ia juga adalah satu bukti bahawa kita semua sudah lama mendambakan kisah-kisah seperti ini,” katanya.











