HULU LANGAT 2 Mac – Penyokong Pakatan Harapan (PH) enggan menurunkan satu kain rentang berunsur provakasi walaupun telah diminta untuk berbuat demikian oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kejadian di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, pagi ini.
Difahamkan kain rentang memaparkan wajah isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Datin Seri Rosmah Mansor itu merupakan satu kesalahan kerana disifatkan sebagai bahan kempen yang tidak menyertakan nama syarikat pencetak serta tidak mempunyai logo parti.
Bagaimanapun, seorang penyokong PH didapati enggan menurunkan kain rentang tersebut sambil menafikan ia merupakan bahan kempen.
Difahamkan SPR akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Kain rentang yang turut memaparkan tulisan ‘Malu Apa Bossku…???Siapa Boss?? Akulah Boss.. Ingat Najib Ke!!!’ itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) sehingga menimbulkan sedikit kekecohan. – UTUSAN ONLINE.











