HULU LANGAT 2 Mac – Calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang mengakui tidak melihat dirinya mampu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun telah berjaya memenangi hati rakyat.
Beliau malah percaya mungkin akan kehilangan wang depositnya tetapi tidak melihat perkara itu sebagai kegagalan, sebaliknya mahu lebih ramai rakyat menyertai proses demokrasi.
“Saya tidak melihat peluang untuk menang tapi saya lihat kemenangan rakyat. Ini yang kita mahukan. Saya percaya telah berjaya memenangi hati dan kebajikan rakyat.
“Saya juga menyarankan supaya lebih ramai cuba menjadi calon. Kita nak bertanding demi proses demokrasi. Bukan untuk menang tapi membantu rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian Dewan Serbaguna Orang Ramai Semenyih, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Chee Heng turut mengakui akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pula selepas ini sekiranya diberi peluang.
Namun begitu, beliau berkata, akan meneruskan aktiviti kemasyarakatan yang telah dilakukannya sejak 30 tahun lalu walaupun akan bergiat lebih aktif dalam politik.
“Sekiranya diberi peluang, saya mahu bertanding di kerusi Parlimen pula. Kalau boleh di Kuala Lumpur atau Selangor untuk memudahkan saya membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











