KANGAR 1 Mac – Sebanyak 34 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak yang dalam keadaan keletihan diselamatkan penduduk kampung setelah dipercayai ditinggalkan tekong di pesisir pantai berdekatan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini hari ini.
Kesemua mereka sebelum itu dipercayai telah menempuh perjalanan selama empat hari dari negara asal sebelum menaiki bot ke negeri ini dan tiba di kampung berkenaan awal pagi.
Difahamkan, sebelum ditemukan penduduk, mereka terpaksa meredah lumpur kira-kira satu kilometer.
Berikutan keadaan mereka yang daif termasuk melihat kanak-kanak berusia dua tahun yang menangis kelaparan, para penduduk di situ segera memberikan bantuan makanan dan pakaian.
Seorang penduduk, Nazri Abu Bakar, 44, berkata, dia bersama penduduk yang lain membantu pelarian berkenaan ke tempat selamat.
Menurutnya, berdasarkan temu bual, pelarian berkenaan telah ditinggalkan oleh tekong yang membawa mereka dengan menaiki bot kecil di kawasan terbabit.

“Kami berasa kasihan melihat mereka. Rata-rata penduduk kampung datang membantu pelarian terbabit naik ke tempat selamat melalui laluan selut semasa air laut surut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ujar Nazri, ketika diberi makan, kesemua pelarian tersebut dilihat begitu berselera seolah-olah sudah beberapa hari tidak menjamah makanan.
Dalam pada itu, kesemua mereka dibawa oleh pihak imigresen kira-kira pukul 10 pagi ini untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan perkara tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
“Kita telah berhubung dengan pihak imigresen negeri untuk mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) ini untuk tindakan susulan,” katanya.











