QUITO 1 Mac – Sebanyak 155 kura-kura gergasi dilepaskan di sebuah pulau di Galapagos, Ecuador semalam sebagai usaha menggantikan spesis serupa yang telah pupus kira-kira 150 tahun lalu.
Menurut perkhidmatan Taman Negara Galapagos, haiwan daripada spesis Chelonoidis hoodensis berusia antara 10 dan 12 tahun itu dibesarkan di Pusat Pembiakan Fausto Llerena sebelum dilepaskan ke Pulau Santa Fe.
Kura-kura gergasi yang nama saintifiknya Espanola itu sudah pupus lebih seabad lalu.
Haiwan itu berasal dari Pulau Espanola, yang juga dikenali sebagai Pulau Hood, terletak di tenggara rantau Galapagos.
Pengarah Taman Negara Galapagos, Jorge Carrion memberitahu, sebelum dilepaskan, kulit anak kura-kura gergasi itu dipasang mikrocip berserta nombor bagi membolehkan pihak taman negara memantau pergerakan reptilia itu.
Spesis terancam itu dilepaskan di kawasan seluas 24.7 kilometer persegi bagi menyertai 394 spesis binatang lain di situ.
Carrion menyifatkan kura-kura gergasi itu sebagai ‘jurutera ekosistem’ kerana berupaya menggalakkan jumlah tumbuh-tumbuhan di habitat semula jadi mereka.
Sementara itu, sukarelawan Konservasi Galapagos, Washington Tapia memberitahu, anak kura-kura gergasi daripada spesis Espanola sebelum ini dilepaskan di kepulauan yang sama, empat tahun lalu.
“Kura-kura yang kini berusia antara 10 dan 12 tahun itu dijangka membiak dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang,” katanya. – AFP











