Musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut memberi impak besar kepada golongan nelayan yang tidak dapat turun ke laut seperti biasa.
Walaupun musim tengkujuh berlaku saban tahun, masih terselit kisah duka nelayan yang tidak dapat turun ke laut mencari rezeki terutama menjelang musim persekolahan.
Golongan nelayan tidak berputus asa walaupun menyedari sekurang-kurangnya 50 peratus sumber pendapatan berkurang semasa musim tengkujuh.
Tidak mahu sekadar duduk mengenang nasib, golongan nelayan di Kampung Sungai Sembilang di Kuala Selangor mengambil risiko tetap turun ke laut bagi mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.
Bagi seorang nelayan, Abdullah Mahmud, 58, taburan hujan di Kuala Selangor tidak seteruk di pantai timur dan masih membolehkannya menggunakan kudrat untuk turun ke laut mencari rezeki.
Sebagai nelayan, mentafsir dan membaca keadaan angin serta awan merupakan sesuatu yang wajib dipelajari kerana menentukan sumber pendapatan.
“Sekiranya cuaca baik sama ada pada waktu pagi atau petang, saya akan turun ke laut tetapi tidak lama dalam dua atau tiga jam sahaja kerana faktor keselamatan. Dalam keadaan cuaca seperti ini hasil tangkapan kami sangat berkurangan.
“Saya tetap akan ke laut sekiranya angin tidak terlalu kuat. Berdekatan sini terdapat pulau untuk berteduh jika hujan. Paling lama tidak dapat turun ke laut adalah selama tiga hari yang pada ketika itu hujan lebat dan amat berisiko untuk nelayan,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga mengusahakan ladang kelapa sawit sebagai sumber pendapatan tambahan, namun kejatuhan harga sawit berterusan menyebabkan dia tidak terlalu berharap terhadap hasil jualan komoditi tersebut.
“Pendapatan saya bergantung 100 peratus terhadap hasil laut, kerana itu kami sekeluarga membuat persiapan awal termasuk menabung sepanjang tahun bagi menampung perbelanjaan pada musim tengkujuh termasuk menyediakan kelengkapan anak bersekolah,” jelasnya.
Termenung seketika mengenang nasib, dia memberitahu, musim tengkujuh ibarat `musim pajak gadai’ bagi nelayan kerana ada masanya berminggu tidak dapat keluar kerana tidak mampu menampung kos minyak.
Justeru, dia berharap kerajaan akan terus membantu golongan nelayan melalui pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban kami terutama ketika tidak dapat turun ke laut. Melalui bantuan itu juga dapat menampung perbelanjaan ketika musim hujan,” katanya.
Sementara itu Samsudin Hussien, 37, berkongsi kisah golongan nelayan di kawasan itu tidak hanya duduk mempersiakan masa, sebaliknya melakukan kerja-kerja yang mampu membawa pulangan sebagai pendapatan tambahan ketika musim tengkujuh.
Pada musim ini, nelayan akan membuat kerja-kerja seperti membaiki sampan dan bot, mengikat jaring, membawa orang ramai untuk memancing dan membuat pemberat unjam.
“Ada masanya apabila mengambil upah membawa orang ramai memancing dan tiba-tiba hujan lebat, kami terpaksa membatalkannya dan perlu memulangkan bayaran. Walaupun rugi tetapi itulah cara hidup kami dan tiada sedikit pun rasa kecewa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, baru-baru ini Jabatan Perikanan memberi peruntukan khas kepada nelayan di sini untuk projek membina unjam sebagai perlindungan sementara bagi ikan-ikan dan hidupan laut bersaiz kecil.
Unjam adalah kawasan yang menjadi tumpuan nelayan mencari rezeki kerana kawasan tapak unjam kaya dengan plankton dan menjadi tumpuan ikan kecil.
Di sebalik cabaran yang terpaksa dihadapi boleh nelayan di Kampung Sungai Sembilang, mereka masih bernasib baik apabila hasil tangkapan ikan diuruskan melalui myKomuniti Perikanan (MyKP) kepada orang ramai tanpa orang tengah atau tokey.
Ini bermakna, harga ikan di sini lebih murah kerana tidak melalui peraih serta pendapatan nelayan tidak dimanipulasi.
Ancaman bot pukat tunda jejas pendapatan
Sudahlah keadaan cuaca tidak mengizinkan golongan nelayan untuk turun ke laut, ditambah pula ancaman pencerobohan bot pukat tunda di kawasan itu menjejaskan lagi sumber pendapatan.
Bagi Ketua Komuniti MyKP Kampung Sungai Sembilang, Nor Hizam Harif, 47, kegiatan pengusaha bot pukat tunda yang menangkap ikan di kawasan kurang lima batu nautika dari pesisir pantai telah merosakkan keseimbangan ekologi marin kerana menarik ‘segala isi’ sehingga ke dasar.
Malah, anak-anak ikan yang sepatutnya membesar turut menjadi mangsa pukat tunda. “Mereka mempunyai peralatan yang canggih. Mereka menarik hasil sehingga ke tepi pantai. Akibatnya, hasil tangkapan nelayan pesisir pantai seperti kami amat terjejas,” jelasnya.
Tambahnya, selain kemerosotan hasil sumber laut, tindakan pengusaha bot pukat tunda turut memberi mengancaman keselamatan nelayan pesisir pantai.
“Pernah bot kami tersangkut pada pukat tunda, malah jaring kami juga rosak akibat dilanggar bot tunda,” ujarnya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih tegas terhadap kes-kes bot pukat tunda yang majoritinya dari luar.
“Perkara ini bukan baharu, mereka melakukan aktiviti pada waktu malam untuk mengelak ditahan. “Mereka juga memasang ‘mata-mata’ untuk mengintip pergerakan pihak berkuasa supaya terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Kupang rezeki baharu nelayan
TENGKUJUH merupakan musim paling menakutkan bagi golongan nelayan memandangkan mereka jarang atau tidak turun ke laut pada tempoh yang agak panjang sekali gus menjejaskan pendapatan.
Ibarat rezeki terpijak, golongan nelayan di Kampung Sungai Sembilang mula menjinakkan diri dengan menceburi satu lagi bidang akuakultur iaitu ternakan kupang sebagai sumber pendapatan sampingan sejak November tahun lalu.
Menurut Nor Hizam, ternakan kupang dijangka menghasilkan pendapatan yang lumayan dan berpanjangan.
Katanya, ketika ini harga kupang di pasaran adalah RM6 sekilogram.
“Pada musim tengkujuh kami akan turun ke laut untuk memasang pemberat dan jaring bagi membolehkan benih kupang melekat dan membesar.
“Tempoh kupang membesar dianggarkan selama lapan bulan sebelum boleh dijual. Kupang yang diternak di sini dijangka memiliki saiz antara lima hingga lapan inci,” katanya.
Tambahnya, penternakan kupang memerlukan kawasan perairan yang tidak berarus deras, tiada laluan kapal dan memerlukan air laut dengan kedalaman sekurang-kurangnya tujuh meter serta tidak memerlukan perhatian yang rapi.
“Kami mempelajari teknik ini melalui Jabatan Perikanan semasa kursus mengenai penternakan kupang di Johor dan Melaka tahun lalu dan melihat ia memiliki nilai komersial yang sangat tinggi.
“Walaupun baharu memulakan ternakan ini tetapi kami sudah dihubungi oleh peraih yang berminat untuk menjual kupang di pasaran,” jelasnya.
Jelasnya lagi, kos untuk menjayakan ternakan tersebut juga tidak banyak memandangkan nelayan di situ mengitar semula peralatan yang ada termasuk jaring.
“Benih juga tidak perlu disediakan kerana benih kupang akan melekat pada jaring dan tali secara semula jadi.
“Buat masa ini terdapat empat projek kupang yang diusahakan melalui peruntukan sebanyak RM50,000 yang diberikan oleh kerajaan yang setiap satu projek boleh menampung sehingga satu tan kupang,” ujarnya.











