JOHOR BAHRU 1 Mac – “Saya memang tidak bermain basikal lagi sejak kejadian itu, kalau ada nampak orang bermain basikal pun saya akan buat tak tahu. Saya juga dah takde teringat-ingat lagi peristiwa tersebut,” kata Muhammad Zulfadhli Yusri, 21.
Dia merupakan seorang daripada enam remaja yang cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam di sini dua tahun lalu yang turut meragut nyawa lapan rakannya.
Muhammad Zulfadhli yang patah kaki kanan dalam kejadian itu sudah serik bermain basikal dan kini mahu memberi tumpuan kepada kerja serta mengambil lesen motor turut menzahirkan terima kasih kepada UMNO Johor yang memberi bantuan guaman bagi menuntut pampasan berkaitan kes itu.
Dia ditemui pemberita selepas menerima cek pampasan yang disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad di sini sebentar tadi.
Pampasan keseluruhan bernilai RM500,000 itu adalah bayaran daripada syarikat insurans pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan kepada 14 mangsa, hasil persetujuan kedua-dua pihak selepas melalui proses mahkamah selama hampir setahun.
Bagaimanapun, jumlah pampasan yang diterima mangsa adalah berbeza mengikut kondisi serta kecederaan masing-masing.
Pada 18 Februari 2017, lapan remaja maut manakala lapan lagi cedera akibat dirempuh sebuah kereta semasa mereka menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini pada 3.30 pagi.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Arif Salman, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 di sini berkata, dia kini menumpukan perhatian kepada persekolahan dan pada masa sama bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera.
Dia yang cedera di kepala, mata, bahu, tangan dan kedua-dua kaki dalam kejadian itu sehingga dirawat selama seminggu memberitahu tidak lagi mengingati kejadian itu, namun akan teringat jika ada yang bercerita mengenainya.
“Kalau boleh saya dah tak mahu ingat lagi peristiwa itu, saya pun dah tak main basikal lagi dan sampai hari ini pun takde lagi kawan-kawan yang datang ke rumah dan ajak main basikal,” katanya yang berterima kasih atas bantuan UMNO Johor. – UTUSAN ONLINE











