KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) belum menerima aduan berkaitan peningkatan harga sayur dan masalah bekalan hasil tani akibat fenomena gelombang panas setakat ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, bagaimanapun pihaknya tetap melakukan pemantauan sebagai langkah persediaan seandainya cuaca panas berlarutan dan menjejaskan bekalan hasil tani di pasaran.
“Sebenarnya, keadaan ini (cuaca panas) memberi kebaikan kepada tanaman berdaun hijau seperti kobis dan sawi kerana ia mempercepatkan tempoh matang pokok tersebut. Secara tidak langsung, keadaan ini dapat memastikan bekalan sayuran sentiasa mencukupi walaupun pada cuaca panas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program MyBest Buy-Jualan Terus Dari Ladang @ Melaka Day Jom Gegau di sini, hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.
Sementara itu, FAMA turut menyasarkan penambahan sehingga 200 lokasi bagi program MyBest Buy (MBB) hingga hujung tahun ini.
“Dengan maklum balas, kehadiran dan penyertaan usahawan tani pada program bulanan tersebut, kami dapati 162 lokasi MBB yang sedia ada sekarang tidak mencukupi. Kami dalam usaha meluaskan lagi akses pembeli dan peniaga dengan menambah lebih 30 lokasi baharu bertumpuan ramai seperti hospital, kilang, institusi pengajian tinggi dan kawasan perumahan,” katanya. – Bernama











