KUALA LUMPUR 1 Mac.- Polis menahan tiga remaja selepas dipercayai terlibat dalam kira-kira 13 kes pecah cermin kenderaan di kawasan masjid sekitar kawasan USJ di sini bagi mencuri barang berharga pada 24 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh satu pasukan khas yang diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Subang Jaya selepas pihaknya menerima beberapa laporan polis mengenai kejadian.
Ujarnya, hasil pemantauan pihaknya, ketiga-tiga remaja berusia antara 13 sehingga 15 tahun berjaya diberkas kira-kira pukul 3 pagi selepas dipercayai baru melakukan tiga kes pecah cermin.
“Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas mereka, kita menemukan sejumlah wang tunai bernilai RM1,861 dipercayai diperoleh hasil kegiatan pecah kereta.
“Selain itu, kita turut merampas lima kad pengeluaran wang automatik (ATM), komputer riba (1) dan sekeping kad akses sebuah residen di kawasan berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya dekat sini hari ini.
Tambah Risikin, kesemua suspek kemudiannya ditahan reman bagi siasatan lanjut sebelum dituduh hari ini mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, Risikin turut memberitahu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia 30 sehingga 40 tahun kerana melarikan 50 tong gas jenama Petronas bernilai RM4,500 dari sebuah stor simpanan gas petroleum cecair (LPG) di Sungai Way di sini pada 18 Februari lalu.
“Hasil siasatan lanjut, kita berjaya menemukan 42 tong gas yang diletakkan oleh kesemua suspek di sebuah stor terbiar di Bandar Sunway dekat sini.
“Selain itu, kita masih memburu seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dan dipercayai telah melarikan tujuh tong gas lagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











