KUALA LUMPUR 1 Mac – Tular dalam pelbagai laman media sosial satu surat yang dikeluarkan oleh Ibu pejabat PKR didakwa tidak akan menyokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Berdasarkan surat itu, Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada Rabu lalu telah meneliti luahan kepemimpinan PRK Cabang Hulu Langat, sekali gus sebulat suara memutuskan untuk tidak menyokong calon PH dalam PRK tersebut, Muhammad Aiman Zainali.
Surat itu kononnya ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bagaimanapun ejaan namanya dalam surat itu adalah salah.
“Biro Politik menerima bantahan yang dikemukakan oleh kepemimpinan Cabang Hulu Langat dalam hal ini adalah kukuh dan satu memorandum akan disampaikan kepada Pengerusi PH (Tun Dr. Mahathir Mohamad) bagi menyatakan pendirian PKR mengambil keputusan untuk tidak menyokong calon yang dipilih oleh PH dalam PRK DUN N24 Semenyih kali ini,” menurut surat itu yang bertarikh 28 Februari itu.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution menafikan surat tersebut dan menjelaskan bahawa ia adalah palsu.
“Usaha terdesak untuk lagakan parti-parti komponen dalam PH. PKR komited membantu dan memenangkan calon PH di Semenyih,” menurutnya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi akaun laman Twitter beliau turut menafikan surat tersebut dan menjelaskan Biro Politik PRK tidak membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat yang diadakan.
“Nombor rujukan dan format surat juga salah. Ini kerja musuh politik yang kehilangan idea dan modal. Hentikanlah bermain politik fitnah keji seperti ini,” katanya dalam akaun media sosialnya itu. – UTUSAN ONLINE











