PASIR GUDANG 28 Feb. – Penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Ke-24 yang bermula semalam hingga 3 Mac ini turut menghiburkan kanak-kanak istimewa dari Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih di sini.
Menurut Pembantu Pendidikan Khas SK Taman Pasir Putih, Nuratiqah Hashim, 34, mereka berkunjung ke festival tersebut bagi memberi peluang dan pengalaman kepada kanak-kanak istimewa terlibat berinteraksi dengan masyarakat.
Katanya, kunjungan tersebut disertai 11 Pembantu Pendidikan Khas dan 14 kanak-kanak istimewa berusia antara 7 hingga 14 tahun.
“Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk membiasakan kanak-kanak istimewa ini dengan aktiviti yang melibatkan masyarakat dan untuk berada dalam khalayak ramai.
“Ini kerana ada antara mereka tidak biasa dan berasa gemuruh apabila berada dalam kalangan masyarakat, khususnya orang-orang yang mereka tidak kenal,” ujarnya ketika ditemui hari ini.
Seramai 14 kanak-kanak istimewa dari SK Taman Pasir Putih yang terlibat terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai jenis kekurangan termasuk masalah pembelajaran dan sindrom down.
Seorang lagi Pembantu Pendidikan Khas SK Taman Pasir Putih, Norhayati Ismail, 44, pula memberitahu, penglibatan mereka dalam festival itu sudah lama.
“Kunjungan ke FLLSPG telah lama dianjurkan pihak sekolah, kami telah terlibat dengan program ini sejak tahun 2008 lagi.
“Selain berada dalam khalayak ramai, kanak-kanak ini juga berpeluang menyaksikan aktiviti permainan layang-layang,” katanya.
FLLSPG ke-24 yang berlangsung di Bukit Layang-Layang di sini disertai seramai lebih 1,000 peserta termasuk 240 pelayang dari 45 negara termasuk Amerika Syarikat, England, Turki, China, Rusia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Venezuela.











