Lesen pemandu ulat teksi haram boleh digantung - Utusan Malaysia

Lesen pemandu ulat teksi haram boleh digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 27 Feb. – Mana-mana pemandu yang didapati terlibat dalam kegiatan ulat teksi teksi haram boleh digantung lesen kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, hukuman itu merupakan antara cadangan pihaknya di dalam mengekang kegiatan tersebut agar ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Menurut beliau, terdapat klausa undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan kesalahan bagi individu yang menyalahguna lesen memandu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemegang lesen memandu biasa sewenang-sewenangnya tidak boleh menjalankan aktiviti membawa teksi, kerana teksi mempunyai lesen tersendiri.

“JPJ negeri akan mengemukakan cadangan ini kepada Ibu Pejabat JPJ untuk dilaksanakan dan sekiranya dibenarkan, lesen memandu individu terlibat boleh digantung sehingga dua tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi ulat teksi haram di KLIA2, di sini hari ini.

Menurut Nazli, undang-undang sedia-ada iaitu di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dilihat kurang memberi kesedaran kepada pihak terlibat.

Katanya, terdapat suspek yang mengulangi kegiatan ulat teksi haram walaupun pernah banyak kali dikenakan hukuman oleh mahkamah.

“Terdapat tertuduh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM5,000 sedangkan pendapatan mereka menerusi kegiatan haram itu boleh mencecah RM15,000 sebulan.

“Justeru itu, tindakan pergantungan lesen dilihat merupakan satu tindakan tegas bagi memerangi aktiviti ulat teksi haram,” katanya.

Pada masa sama, Nazli memaklumkan sepanjang tahun ini sahaja sebanyak 33 tangkapan dilakukan terhadap pemandu ulat teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

“Ia menunjukkan peningkatan apabila dalam tempoh sama pada tahun lalu, hanya mencatatkan 21 tangkapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN