KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar dua batang pokok dalam satu kemalangan di Jalan Persiaran Alam Damai di sini petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa, Chan Sheong Kai, 64, sedang memandu seorang diri menghala ke Taman Alam Damai.
“Kemalangan berlaku sewaktu kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa sedang melalui jalan lurus yang mempunyai dua lorong bagi setiap arah sebelum ia dipercayai terlanggar batu pembahagi jalan lalu terbabas dan memasuki jalan bertentangan.
“Kereta dipandu mangsa seterusnya melanggar batu tembok di tepi jalan sebelum terhenti selepas merempuh dua batang pokok yang berada di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zulkefly, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa yang menetap di Taman Midah, Cheras disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
“Siasatan berhubung kejadian ini diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau. – K! ONLINE











