Kebajikan atlet, bekas atlet dibela - Utusan Malaysia

Kebajikan atlet, bekas atlet dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan kepada atlet serta bekas atlet kebangsaan yang telah berjuang memartabatkan arena sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, bantuan serta kemudahan perubatan dan kesihatan tersebut merupakan komitmen kerajaan yang signifikan terhadap kebajikan dan kesihatan mereka.

“Inisiatif ini juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan yang telah menabur jasa dan bakti dalam membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemudahan ini termasuklah rawatan pesakit dalam dan luar di semua premis kesihatan kerajaan bagi mereka yang mewakili negara seperti tafsiran berikut.

“Tersenarai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam mana-mana pasukan acara sukan bagi mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara atau setara;

“Tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan teras yang sedang menjalani program latihan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN); atau 


“Tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan bukan teras tetapi pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara atau setara adalah layak sekiranya dipersetujui oleh jawatankuasa penilaian dengan perakuan Ketua Pengarah MSN,” maklumnya.

Selain daripada kemudahan perubatan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan, kerajaan juga telah menyalurkan dana sebanyak RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

“Perkara ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada bekas-bekas atlet kebangsaan. Dengan adanya inisiatif-inisiatif ini, kerajaan berharap kebajikan mereka akan sentiasa terbela,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN