SHAH ALAM 27 Feb. – Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba,Syed Sharil Anuar Syed Sulaiman memaklumkan bahawa ekoran kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu, balai tersebut kini hanya mempunyai satu sahaja jentera Fire Rescue Tender (FRT) untuk operasi menyelamat.
Saksi ke-18 dalam prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim memasuki hari ke-11 berkata, kedua-dua kenderaan iaitu FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kini telah rosak akibat insiden yang berlaku.
Katanya, kenderaan tersebut kini berada di Balai Bomba Subang Jaya dan tersadai di tepi dan tidak boleh dilakukan apa-apa.
“Setiap hari kami memerlukan jentera untuk operasi, malang sekali hanya ada satu jentera sahaja untuk menampung operasi kes-kes yang banyak di Subang Jaya. Dalam sehari, kami menerima kurang daripada 10 panggilan melibatkan pelbagai kes antaranya selamatkan mangsa dalam lif, kes kemalangan termasuk cubaan bunuh diri.
“Dalam masa sama, kita juga membuat latihan pencegahan kebakaran di premis-premis di Subang Jaya yang mana keperluan FRT sangat besar,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, di sini hari ini.
Sementara itu, di akhir prosiding, Syed Sharil Anuar yang sebelum ini memohon supaya kedua-dua kenderaan itu dibaiki untuk kegunaan balai menarik semula permohonannya itu ekoran selepas Pengarah Bomba Selangor, Azmi Osman memaklumkan kenderaan terbabit perlu dikekalkan sebagai bahan bukti inkues.
“Saya telah membuat panggilan telefon dan pengarah telah memaklumkan akan menghantar bantuan sekiranya balai memerlukan,” ujarnya.
Rofiah menerima penarikan permohonan itu dan menetapkan kedua-dua kenderaan bomba itu kekal sebagai eksibit(bahan bukti) pada prosiding inkues. – UTUSAN ONLINE











