Wanita maut motosikal dilanggar lori - Utusan Malaysia

Wanita maut motosikal dilanggar lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITIAWAN – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah lori simen di Kilometer 5 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Kampung Koh di sini tengah hari tadi. 

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Eu Hea Nee, 47, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa keluar dari simpang dari arah Kampung Koh melintas ke kanan Jalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, lori simen dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa di bahagian hadapan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Muhammad Hanif, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat. 

“Pemandu lori simen itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Kemalangan berpunca daripada mangsa yang cuai ketika keluar simpang sehingga menyebabkan pelanggaran dengan lori simen itu,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Husni Sawal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.45 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa dan motosikalnya masih berada di bawah lori sebelum anggota menggunakan peralatan khas untuk mengangkat lori itu dan mengeluarkannya. 

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.31 petang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN