KPM nafi tamatkan kontrak pengawal keselamatan sekolah - Utusan Malaysia

KPM nafi tamatkan kontrak pengawal keselamatan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan pihaknya tidak menyambung kontrak syarikat-syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang sekali gus menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah terkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kontrak syarikat terbabit sebaliknya sudah tamat tempoh pada 31 Disember lalu dan telah ditender semula mengikut keperluan semasa norma baharu KPM.

Menurutnya, kontrak yang ditender semula itu telah disertai oleh syarikat-syarikat kawalan keselamatan berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja.

“Antara syarikat-syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada KPM sebelum ini juga menyertai proses tender. Segala proses tender telah dijalankan secara adil, telus dan penuh berintegriti.

“Memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga yang ditawarkan, adalah tidak adil untuk menganggap KPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawal-pengawal yang diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada KPM,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, KPM tidak terbabit dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta.

Bahkan menurut kenyataan itu, ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan.

“KPM sekali lagi menegaskan bahawa penawaran kontrak baharu bagi perkhidmatan berkaitan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan pihak kementerian,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab, pihaknya tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dalam perkara berkenaan.

“Malah KPM juga tidak pernah menamatkan 12,000 orang pengawal keselamatan sebagaimana didakwa oleh pihak Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM).

“Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pengawal-pengawal keselamatan terbabit oleh itu KPM menasihatkan syarikat-syarikat keselamatan agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan KPM digesa untuk mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali dilaporkan mendakwa, hal itu kerana terma kontrak itu menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh KPM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN