Doktor garap tema fobia potong kaki - Utusan Malaysia

Doktor garap tema fobia potong kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pengalaman dan fobia seorang doktor pelatih yang pertama kali memotong kaki pesakitnya sehingga mencetuskan konflik perasaan antara kewajiban profesionalisme dan rasa simpati sesama manusia yang digarap dalam bentuk cerpen adalah antara karya yang bersaing untuk memenangi Ha­diah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 esok.

Saeed Zubeir Zahari, 28, yang menghasilkan cerpen Kaki Hantu berdasarkan pe­ngalamannya sebagai seorang doktor pelatih di Hospital Kemaman, Terengganu.

Menggunakan nama pena Saza S, beliau turut mengolah terminologi per­ubatan berserta jenis ubat-ubatan, istilah rawatan, perala­tan pembedahan serta risiko turut membangunkan sahsiah doktor per­ubatan dalam cerpen itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cerpen Memberikan Telinga karya Saifullizan Yahaya pula menampilkan watak lelaki tuli Trisno bekerja sebagai pembersih bangunan berhadapan dengan detik seorang perempuan mahu membunuh diri dari tingkat 31.

Walaupun dilahirkan cacat pendengaran, Trisno ber­upaya mengetahui segala rin­tihan perempuan itu menerusi isyarat gerak bibir.

Zainal Rashid Ahmad menerusi Paduka Raja & Kota Yamani pula memilih isu politik antarabangsa di Syria sebagai tema penulisan cerpennya.

Beliau menggunakan pe­ngalaman luas sebagai wartawan yang membuat liputan di negara berkonflik untuk menceritakan bagaimana perbezaan fahaman, sengketa ekonomi dan siasah membawa kepada pertelingkahan sehingga membinasakan ummah, menimbulkan kesengsaraan dan menjadi malapetaka kepada persaudaraan sejagat.

Tiga naskhah ini adalah antara 65 buah cerpen yang diterima untuk penilaian juri yang mana daripada jumlah tersebut sebanyak 22 disenarai pendek sebelum 10 dipilih untuk menerima hadiah utama dan penghargaan.

Tujuh cerpen lain yang turut terpilih ialah Bertanya Seorang Haral karya Siti Jasmina Ibrahim, Kuroshio (Hafizah Iszahanid), Hari yang Bergelar Kematian (Juri Durabi), Neraca Akal (Maznida Mahadi), Lelaki dari Negeri Pelangi dan Titis-titis Hujan di Rakhine (Azman Ismail), Pak Hussin, Bas Buruk dan Calon YB dan Saya (MK Riza).

Naskhah yang dipilih dalam senarai akhir kali ini membawa kepelbagaian tema se­perti isu-isu semasa sama ada yang berlaku di tanah air atau di peringkat antarabangsa, seni warisan, budaya, isu-isu sosial, ragam politik dan eh­wal pelakunya.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-33 akan berlangsung di Dewan Besar Utusan di sini dan majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu kategori Cerpen Media Baharu, Cerpen Remaja, Cerpen Umum, Puisi, Rencana dan Novel Remaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN