AMPANG – Seorang wanita menghadapi detik cemas apabila pintu kereta yang sedang dinaikinya cuba dibuka oleh seorang lelaki dipercayai warganegara asing dalam satu kejadian di Kampung Tasik Tambahan di sini pagi semalam.
Menerusi satu perkongsian di laman media sosial Facebooknya, wanita berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Ez Azhar itu meletakkan keretanya di sebuah kawasan premis di Kampung Tasik Tambahan di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, beliau didatangi oleh seorang lelaki dipercayai warga asing yang cuba membuka pintu keretanya dengan mendakwa bahawa dia adalah ahli keluarganya.
Menurutnya, lelaki tersebut memaksa dirinya untuk membuka pintu kereta beberapa kali dan turut merakam wajahnya.
Mangsa kemudian telah menghubungi suaminya yang berada di sekitar kawasan tersebut lalu memberi amaran kepada lelaki itu untuk tidak menganggu mangsa lagi.
Laporan polis telah dibuat pada hari sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superitendan Mohd. Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes tersebut.
“Sehingga masa kini tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan dalam kes tersebut.
“Pihak polis telah mengambil maklum berkenaan kes dan ia telah dirujuk kepada Mahkamah Majistret untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE











