BioUsahawan 2019 perluas produk bio tempatan - Utusan Malaysia

BioUsahawan 2019 perluas produk bio tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Inisiatif BioUsahawan 2019 yang dijalankan BioEconomy Corp. dijangka meningkatkan penggunaan produk berasaskan bio tempatan dalam kalangan penduduk bandar kepada 80 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp., Dr. Mohd. Shuhaizam Mohd. Zain berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya baru-baru ini, 60 peratus penduduk bandar telah membeli produk berasaskan bio tempatan.

Katanya, ini menunjukkan tahap kepercayaan pengguna terhadap produk berasaskan bio semakin meningkat dan ini memberi lebih peluang kepada para usahawan untuk meneroka potensi pertumbuhan perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai agensi utama industri agro dan bio di Malaysia, Bioeco­nomy Corp. bukan sahaja komited dalam memacu produk dan per­khid­matan berasaskan dua bahan ini ke arah kualiti yang lebih berdaya saing, malah agensi ini juga berusaha meningkatkan jumlah pelaburan swasta dalam pertanian komersial.

“Kami juga membantu memperluaskan saiz pasaran dan mencipta tenaga kerja terutama usahawan muda dan industri tempatan berkembang maju,” katanya pada sesi taklimat Bio­Usahawan 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaizam turut mengumumkan penganjuran BioUsahawan 2019 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Mac ini yang menyediakan platform bagi usahawan tempatan, syarikat permulaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosi produk dan perkidmatan mereka terutama dalam sektor agro dan bio.

Katanya, acara dua hari itu akan diisi dengan pelbagai program termasuk sesi pemadanan perniagaan, sesi pertukaran idea dan pembukaan kios jualan produk bio dari dalam dan luar negara.

Selain itu, beliau berkata, selaras dengan agenda hala tuju baharu Kementerian Pertanidan dan Industri Asas Tani, Bioeco­nomy Corp. akan memperluaskan konsep BioNexus kepada sektor bio kesihatan, bio industri dan Agrobiotech kepada komuniti pertanian.

“Peluasan liputan ini membolehkan akses kepada teknologi, insentif kewangan, kemudahan dan jaminan lain untuk membantu pertumbuhan komuniti berkenaan.

“Bagi menggalakkan individu yang ingin memohon status Bio­Nexus untuk amalan pertanian, mereka dialu-alukan mengambil bahagian dalam BioUsahawan 2019,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×