KLANG – Cubaan sekumpulan penyeludup membawa masuk al-Quran dari negara Indonesia melalui Pelabuhan Utara, di sini gagal selepas kontena yang membawa bahan tersebut berjaya dikesan pihak berkuasa pada Isnin lalu.
Serbuan ke atas kontena terbabit dilakukan kira-kira pukul 2 petang oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Hasil serbuan terbabit, sebanyak 5,050 naskhah teks al-Quran jenis Al-Mumayyaz, Al-Hadi, An-Nur dan Al-Thayyib bernilai RM502,800 telah dirampas.
Pengarah KDN Selangor, Feisal Mohamed Ali berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada pihak kastam yang telah mengesan kontena membawa barangan terbabit.
Beliau berkata, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota dan pegawai telah membuat pemeriksaan ke atas kontena terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui 192 kotak yang mengandungi 2,700 naskhah al-Quran bersaiz lapan inci dan 2,390 naskah al-Quran bersaiz A4.
“Nilai keseluruhan barangan itu dianggarkan bernilai RM502,800,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDN Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Menurut Feisal, siasatan lanjut mendapati ejen yang membawa nashkah al-Quran tersebut tidak melakukan pengisytiharan pada borang kastam.
Ujar beliau, rampasan dilakukan berikutan nashkah terbabit tidak mengikut undang-undang ditetapkan seperti isi kandungannya dieja dalam tulisan rumi.
“Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci dibuat dalam bahasa rumi.
“Selain itu, pemeriksaan bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mendapati al-Quran tersebut tidak mengikut resam Uthmani seperti ditetapkan kerajaan,” jelasnya. – K! ONLINE











