SAUDARA PENGARANG,
SAYA mula mengenali calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi sewaktu kami sama-sama bertugas di Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi, Selangor.
Beliau waktu itu sedang menjalani latihan amali kerana menyambung pengajian sarjana muda. Walaupun agak berusia pada ketika itu, komitmen beliau untuk terus memajukan diri amat mengagumkan (saya ketika itu baru sahaja tamat pengajian diploma).
Sebagai ‘abang’, beliau banyak menegur dan membimbing saya yang pada ketika itu ‘masih dalam proses mencari identiti’ dalam kerjaya pertama. Beliau seorang yang lemah lembut dan mempunyai perwatakan menyenangkan.
Saya pula adalah keterbalikan daripada sifat beliau. Kami bertemu semula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila saya menyambung pengajian sarjana muda dan beliau pada waktu itu telah pun kembali menyambung tugas di UKM.
Saya sering menghubunginya yang bertugas di Bahagian Peperiksaan. Beliau banyak memberi galakan sehingga membolehkan saya tamat pengajian dengan cemerlang.
Apabila saya menyertai UKM kemudiannya sebagai pensyarah, beliau nampak amat gembira kerana kami kini adalah rakan sekerja walaupun dalam bidang berlainan. Begitu pun, kami jarang bercakap soal politik walaupun saya mengetahui beliau menampakkan minat ke bidang tersebut dan mengetahui pembabitannya dalam UMNO.
Adakalanya beliau meluahkan rasa kecewa dengan kepayahan hidup yang dialaminya walaupun mempunyai kelulusan universiti. Saya memujuknya dengan mengatakan yang Tuhan memberi beliau rezeki dengan pelbagai cara.
Anak-anak beliau mencapai kejayaan besar dalam pengajian termasuklah seorang anak lulusan kedoktoran dari luar negara. Kejayaan beliau membesarkan anak-anak dengan cemerlang bagi saya bukanlah pencapaian biasa. Zakaria bersara awal dari UKM kerana katanya rezeki yang ada sudah mencukupi dan beliau ingin menumpukan perhatian kepada soal keluarga.
Sebagai seorang saintis politik, saya sering percayakan kepada kejujuran dan keaslian. Untuk mencari komoditi tersebut dalam politik masa kini amatlah sulit kerana pilihan yang ada begitu sedikit sekali – baik di sebelah BN mahupun Pakatan Harapan (PH).
Beliau mungkin agak pendiam, tidak banyak berkomunikasi dan tidak mempunyai perwatakan ahli politik. Namun inilah keaslian beliau pada hemat saya. Ketika melawat Semenyih baru-baru ini, saya didatangi petugas PH yang melobi untuk calon mereka. Kata petugas itu, memang ada dua calon tempatan tapi calon tempatan kami (PH) tidak makan duit.
Kenyataan petugas itu seolah-olah menyarankan yang seorang lagi calon tempatan adalah buruk perilakunya. Jika petugas PH tersebut membaca coretan ini, ingin saya nyatakan yang kenyataan anda adalah semberono dan simplistic.
Justeru, saya berpendapat, BN membuat keputusan tepat dengan meletakkan Zakaria sebagai calon bagi PRK DUN Semenyih. Untuk Abang Ya iaitu panggilan saya kepada beliau, saya mengucapkan selamat berjaya.
PROFESOR MADYA DR. MUHAMAD TAKIYUDDIN ISMAIL
Program Sains Politik UKM











