MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David akan terus memberi khidmat dan sumbangan dalam sukan tersebut meskipun mengumumkan bakal menamatkan karier sebaik musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/19 berakhir pada Jun depan.
Selepas menabur bakti lebih dua dekad dalam sukan tersebut, Nicol yang pernah memegang status sebagai pemain No. 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket kelmarin.
Bagaimanapun, Syed Saddiq menyuarakan keyakinannya bahawa juara dunia lapan kali itu tetap akan menyumbang kepakarannya selepas pemain berkenaan telah memaklumkan perancangannya berhubung masa depan sukan raket tersebut di negara ini.
“Nicol boleh dianggap sebagai wirawati negara kita dan saya sudah mengikuti perkembangan beliau sejak daripada kecil lagi. Tidak dipertikaikan lagi, beliau akan sentiasa menjadi ikon serta contoh terbaik di Malaysia.
“Saya juga yakin khidmatnya kepada negara tidak akan terhenti setakat ini memandangkan beliau ada menghubungi saya dan memaklumkan beberapa perancangan bagi menambah baik kualiti sukan skuasy negara pada masa hadapan,” ujar Syed Saddiq semalam.
Meskipun sudah dimaklumkan mengenai perancangan yang bakal dilaksanakan, namun Syed Saddiq berharap maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Nicol selain pihak KBS juga telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberikan bantuan.
“Saya fikir lebih baik kita tunggu dan izinkan beliau umumkan sendiri perancangan tersebut kerana bagi saya cadangannya itu cukup hebat. Apa yang pasti, bagi pihak KBS, saya sudah arahkan MSN untuk teruskan apa yang beliau cadangkan,” katanya lagi.
Sebelum itu, dalam satu kenyataan, Nicol, 36, menyatakan kesediaannya untuk terus mengabadikan diri dalam sukan tersebut sebaik bersara bagi memastikan skuasy diterima di peringkat dunia selain mahu menyaksikan ia terus berkembang di Malaysia.
“Saya cintakan skuasy sepenuh hati, oleh sebab itu, saya akan cuba menyumbang menerusi tiga cara kerana ia memainkan peranan yang cukup penting dalam hidup saya. Saya akan terus bekerja rapat dengan PSA bagi meningkatkan kesedaran terhadap sukan ini di peringkat global.
“Selain itu, saya akan membina pasukan sokongan bagi membantu pemain-pemain skuasy profesional negara kita. Saya juga akan membantu generasi-generasi muda Malaysia menerusi Yayasan Nicol David yang bertujuan memperkasakan wanita menerusi sukan, sekali gus mencapai potensi diri mereka,” kata Nicol menerusi laman rasmi PSA.
Sebagai rekod, Nicol yang mula bermain skuasy seawal usia lima tahun dianggap antara pemain skuasy paling cemerlang apabila merangkul tiga pingat emas Sukan Dunia, lima pingat emas Sukan Asia serta dua pingat emas Sukan Komanwel dalam kariernya.
Selain itu, dia juga memegang rekod sebagai pemain termuda menjadi juara remaja dunia apabila memenanginya ketika berusia 15 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium.











