BEIJING 19 Feb. – Firma teknologi China dilaporkan mengumpul pelbagai maklumat peribadi melibatkan 2.6 juta penduduk di wilayah Xinjiang.
Maklumat peribadi itu meliputi keturunan sehingga lokasi, menurut data bocor yang menunjukkan pengawasan meluas di wilayah berkenaan.
Xinjiang memiliki ramai etnik Islam Uighur yang ditindas dan ditekan oleh pihak berkuasa keselamatan China sejak beberapa tahun ini.
Menurut panel siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti berbahasa Turki di Xinjiang ditahan di dalam ‘kem pendidikan semula’.
Kebocoran maklumat itu disedari minggu lalu oleh penyelidik keselamatan, Victor Gevers yang mendapati syarikat teknologi China, SenseNets telah menyimpan rekod individu da;a, pangkalan data terbuka ‘ yang boleh diakses oleh mana-mana pihak’.
Rekod-rekod itu meliputi maklumat seperti kad pengenalan, tarikh lahir, alamat, etnik dan majikan.
Data tersebut turut mengaitkan individu dengan koordinasi sistem kedudukan global (GPS) yang dilabelkan dengan deskripsi seperti ‘masjid’ dan dirakam menggunakan peranti pengesan di seluruh wilayah berkenaan.
Menurut Gevers, dalam tempoh 24 jam, lebih enam juta lokasi direkodkan oleh SenseNets.
Pangkalan data itu telah didedahkan sejak Julai lalu tetapi ditutup Khamis lepas, selepas Gevers melaporkan kebocoran itu kepada SenseNets.
SenseNets memberitahu AFP pihaknya enggan memberikan komen kepada media.
Kerajaan China juga tidak memberikan sebarang maklum balas atas permintaan AFP untuk mengulas perkara tersebut.
Permintaan untuk pengawasan berteknologi tinggi di wilayah Xinjiang membawa kepada pemasangan kamera di dalam masjid, restoran dan tempat-tempat awam manakala pusat pemeriksaan polis telah diwujudkan di kebanyakan tempat di Xinjiang.
Dalam laman webnya, SenseNets yang berpangkalan di Shenzen itu memperlihatkan pelbagai aplikasi, daripada mengesan individu yang disenarai hitam dalam kumpulan orang ramai kepada mengesan lokasi seseorang suspek. – AFP











