BENTONG 18 Feb. – Seorang bapa kesal dengan Hospital Bentong yang gagal mengenalpasti anaknya yang mengalami patah kaki ketika mendapatkan rawatan permulaan di hospital berkenaan baru-baru ini.
Mohamad Safuan Januri, 25, berkata, kegagalan mengesan punca kesakitan anaknya itu termasuk melalui imbasan sinar X pada 5 Februari lalu menyebabkan kecederaan kaki anaknya itu bertambah teruk.
“Saya berasa terkilan kerana doktor dan beberapa pembantu gagal mengesan patah berkenaan dan menyatakan tidak ada apa-apa masalah dengan hanya membekalkan ubat demam.
“Jadi, saya hanya mampu mengurut dan selepas seminggu
melihat keadaan anak saya semakin teruk dengan kesan lebam dan sakit berterusan saya membawa sekali lagi ke hospital berjumpa doktor lain yang menyatakan imbasan sinar X pertama dan kedua jelas menunjukkan kesan patah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu patah kaki kiri selepas bermain bola dan terjatuh pada 5 Februari lalu.
Katanya, akibat kejadian menyebabkan anaknya itu terpaksa menahan sakit yang menyaksikan bahagian betisnya lebam teruk.
– UTUSAN ONLINE











