Cuaca sejuk mencecah -15 darjah Celcius awal pagi itu tidak mengganggu konsentrasi Mahazizi Abdul Latif, 36, daripada meneruskan kayuhan solonya di Lebuh Raya Karakoram.
“Sudah lama saya mengimpikan untuk mengayuh basikal di lebuh raya berturap tertinggi di dunia.
“Kebetulan rakan-rakan berbasikal di Malaysia memberitahu belum pernah ada rakyat Malaysia melakukan kayuhan secara solo di lebuh raya ini. Jadi, saya mencabar diri dan melakukan misi kayuhan pada tahun 2016.
“Tidak sangka impian itu berjaya direalisasikan,” jelasnya.
Semangat yang ada pada bapa kepada dua orang cahaya mata ini menyebabkan dia berjaya menamatkan kayuhan di lebuh raya Karakoram, yang merupakan salah satu laluan Sutera yang pernah digunakan oleh para pedagang sejak zaman dahulu lagi.
Lebuh Raya Karakoram (KKH) atau dikenali sebagai Lebuh Raya Persahabatan China-Pakistan beroperasi sepanjang 1,300 kilometer (km) menghubungkan Punjab, Pakistan dan Kashgar di China.
Ketinggiannya mencecah 4,693 meter dari aras laut menyebabkan ia tersenarai dalam lapan lebuh raya berbahaya di dunia.
Mula dibina pada tahun 1959, lebuh raya ini dibuka kepada umum pada tahun 1979. Bagaimanapun, pada penghujung tahun 2016, kerajaan China dan Pakistan bersepakat untuk memulakan projek pembinaan lebuh raya Karakoram Fasa II di kawasan pergunungan sekitar wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dengan kos AS$1.315 bilion (RM5.37 bilion).
Keindahan pemandangan sekeliling dan struktur jalan yang unik serta mencabar menyebabkan umum menggelarkannya sebagai The Eight Wonder of The World. Disebabkan itu juga, lebuh raya ini tular dan mula mencuri perhatian jutaan masyarakat dunia sejak beberapa tahun lalu.
Rata-rata mereka melihat lebuh raya tersebut sebagai sebuah tapak pelancongan ekstrem baharu. Buktinya, sebaik laluan ini siap dibina, ia menjadi tarikan popular pelancong yang sukakan sesuatu yang mencabar seperti Mahazizi untuk datang merasai pengalaman berbasikal di KKH.
Landskap menarik
Selain disenarai sebagai lebuh raya tertinggi dunia, menurut Mahazizi yang bekerja sebagai jurutera ini lagi, struktur jalan yang mencabar, altitud tinggi dan suhu sejuk yang tidak menentu membuatkan dia bertambah teruja untuk merasai pengalaman mengayuh di situ.
Memulakan kayuhan di Kashgar, China dan berakhir di Lahore, Pakistan melalui KKH, Mahazizi mendakwa, berjaya menyelesaikan misi kayuhan tersebut dalam masa 21 hari sahaja.
Biarpun begitu, kesukaran mengayuh pada persekitaran yang berbeza membuatkan anak kelahiran Terengganu ini akui, pernah hampir berputus asa di pertengahan jalan.
“Saya pernah mencampakkan basikal kerana terlalu kepenatan dan tertekan.
“Sudahlah pernafasan terbatas dek paras oksigen yang tipis, stamina juga semakin berkurangan kerana keadaan lebuh raya yang berbukit dan suhu yang terlampau sejuk.
“Bagaimanapun, selepas lima minit bertenang, saya mula meneruskan kayuhan sehingga ke selamat tiba ke destinasi yang dituju.
“Ini merupakan pengalaman paling bermakna dalam hidup kerana selain menikmati keindahan alam semula jadi, saya juga berpeluang untuk melihat sendiri kepelbagaian etnik dan budaya di kedua-dua buah negara, selain menikmati juadah istimewa mereka,” jelasnya.
Selain Mahazizi, Maslinda Supandi, 32, juga merupakan antara anak Malaysia yang berpeluang melakukan kayuhan di lebuh raya tertinggi dunia itu.
Biarpun hanya berbasikal dari Kashgar ke Tashkurgan, China sahaja, namun akui wanita ini, kayuhan sejauh kira-kira 290km itu tetap memberi pengalaman dan cabaran baharu buatnya.
“Keadaan lebuh raya di sini kurang sibuk dan biasanya hanya digunakan oleh trak dan bas pelancong sahaja. Ia secara tidak langsung memudahkan aktiviti kayuhan basikal untuk individu.
“Disebabkan Karakoram merupakan lebuh raya tertinggi melebihi 3,000 meter dari aras laut dan ada yang bergunung, sudah tentu cabaran berbasikal amat mencabar. Selain fizikal, individu perlu bersedia dari segi mental.
“Sepanjang melakukan kayuhan di Karakoram, saya mengayuh basikal pada kelajuan antara 40 sehingga 80km sehari bergantung kepada struktur jalan di lebuh raya tersebut,” jelasnya.
Biarpun begitu, menurut Maslinda lagi, cabaran yang dihadapi itu berbaloi dan tidak terasa saat memandang suasana persekitaran yang begitu indah.
“Pemandangan di KKH sangat menakjubkan. Saya rasa sangat teruja kerana dikelilingi banjaran gunung yang tinggi bersalji dan langit yang membiru.
“Melihatkan persekitaran itu, saya rasakan ia tidak ubah seperti melihat sebuah lukisan di hadapan mata. Pemandangan di sini jarang dilihat bagi seorang rakyat Malaysia seperti saya.
“Paling tidak dapat dilupakan pemandangan memukau di Tashkurgan, Karakul Lake, China dan pemandangan gunung Mustagha Ata,” jelasnya.
Bas pelancongan
Melihatkan lebuh raya ini yang kini menjadi tarikan pelancong, sebuah syarikat pengangkutan swasta tempatan melancarkan perkhidmatan bas yang menyambungkan Pakistan dan China awal November lalu.
Menurut ketua pegawai eksekutif syarikat, Muhammad Anwar, perkhidmatan bas baharu yang dikenali sebagai perkhidmatan bas Pakistan-China ini menawarkan perjalanan sehala yang mengambil masa dua hari iaitu kira-kira 30 jam waktu perjalanan.
“Ini merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan buat pelancong yang ingin menerokai keindahan alam sekitar sepanjang KKH.
“Bas ini beroperasi empat hari seminggu, iaitu hari Isnin, Selasa, Sabtu dan Ahad dari Lahore, Pakistan ke Kashgar, China.
“Sepanjang perjalanan tersebut, bas akan berhenti di lima buah perhentian sebelum meneruskan perjalanan,” jelasnya.
Menurutnya, caj sehala yang dikenakan ialah Rs13,000 (RM378), manakala sebanyak Rs23,000 (RM669) dikenakan bagi perjalanan pergi dan pulang.
“Kewujudan bas ini secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih ramai penduduk di kedua-dua buah negara, selain pelancong asing menikmati keindahan alam sekitar.
“Diharapkan dengan kemudahan ini, ia dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong yang berkunjung ke Pakistan dan China,” jelasnya.











