Perang besar Israel-Palestin tahun ini? - Utusan Malaysia

Perang besar Israel-Palestin tahun ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV 16 FEB. – Bekas Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman mendakwa rejim Zionis akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas wilayah Palestin termasuk Semenanjung Gaza pada bila-bila masa dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Lieberman sebagaimana lapor Press TV sekali lagi me­ngulangi retoriknya dengan menyatakan perang terhadap kumpulan pejuang Palestin itu bakal menjadi serangan yang terakhir berdasarkan penilaian risikan tentera Israel baru-baru ini.

AVIGDOR LIEBERMAN
AVIGDOR LIEBERMAN 

Pemimpin Parti Yisrael Beteinu berusia 60 tahun itu berkata, penilaian tentera ber­kenaan adalah konsisten de­ngan taksiran yang dibuatnya sejak beberapa tahun lalu.

Lieberman turut menyin­dir kerajaan Israel de­ngan mendakwa, tindakan rejim tidak melancarkan serangan terhadap Semenanjung Gaza hanya menguatkan lagi pertahanan kumpulan pejuang tersebut.

Katanya, penghantaran dana dan minyak kepada Gaza oleh Qatar sebagai tambahan kepada usaha meluaskan kawasan perikanan Palestin sebenarnya menguatkan lagi Briged Izzu­ddin al-Qassam, sayap bersenjata pergerakan Hamas.

Beliau dengan tegas membantah tindakan Israel yang membenarkan Qatar me­nyalurkan sebanyak AS$15 juta (RM61 juta) untuk membayar gaji kakitangan kerajaan Palestin di Gaza, minggu lalu.

Sementara itu, Lieberman mendakwa, sokongan masyarakat awam di Gaza dan sekitar Tebing Barat terhadap pergerakan Hamas semakin bertambah.

Lieberman meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada 14 November tahun lalu, kurang sehari selepas Hamas dan beberapa kumpulan pejuang lain bersetuju untuk melakukan gencatan senjata dengan Israel.

Beliau menyifatkan persetujuan itu sebagai tindakan menyerah kalah kepada keganasan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×