KUALA LUMPUR 15 Feb. – Peluncur ais cilik muda negara, C. Sree Abiraame mengharumkan nama negara apabila merangkul tiga pingat emas dalam Kejohanan Luncur Ais Antarabangsa Abu Dhabi ke-4 yang berlangsung di Bandar Sukan Zayed, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semalam, atlet berusia tujuh tahun itu meraih emas dalam kategori tujuh hingga lapan tahun perempuan dalam final acara gaya bebas selepas mengumpul 5.0 mata, sekali gus menewaskan peserta tuan rumah Norin Angela yang meraih perak dengan 4.0 mata.
Peluncur cilik Malaysia itu kemudian meneruskan prestasi cemerlangnya meraih emas acara ‘Solo Camp Freestyle’ setelah mengutip 5.0 mata, diikuti Norin (4.0 mata) dan rakan senegaranya, Mizuguchi Hanabi (3.0 mata).
Sree sebelum itu mengutip pingat emas pertamanya pada kejohanan itu dalam acara ‘Speed Skating’ kategori umur tujuh hingga lapan tahun perempuan, kelmarin.
Pelajar Sekolah Antarabangsa Kingsley itu seterusnya akan beraksi dalam acara ‘Artistic Freestyle’ dan ‘Footwork 1’ pada hari terakhir kejohanan berkenaan, esok.
“Harap semua rakyat Malaysia mendoakan supaya Sree mendapat kejayaan dalam dua acara berikutnya,” kata bapa Sree, B. Chendren.











