CANBERRA 15 Feb. – Pakar kesihatan memberi amaran, meminum minuman ringan diet setiap hari meningkatkan risiko kematian lebih awal kepada peminumnya.
Portal News.com.au melaporkan, kajian baharu menunjukkan menikmati hanya dua tin minuman yang menggunakan pemanis tiruan setiap hari boleh meningkatkan tiga kali ganda risiko penyakit jantung dan strok.
Data baharu Persatuan Jantung dan Persatuan Strok Amerika Syarikat (AS) menunjukkan, risiko mati awal adalah sebanyak 16 peratus lebih tinggi bagi mereka yang mengambil minuman ringan diet.
Saintis memberi amaran supaya penemuan tersebut harus menjadi peringatan kepada mereka yang mengamalkan minuman berkarbonat diet tersebut.
Ketua penyelidik, Dr. Yasmin Mossavar Rahmani berkata, ramai yang berniat baik terutamanya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mengambil minuman berkalori rendah untuk mengurangkan jumlah kalori dalam diet.
“Penyelidikan kami dan kajian lain menunjukkan bahawa minuman yang menggunakan pemanis tiruan mungkin tidak berbahaya.
“Namun penggunaan yang tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung dan strok yang lebih tinggi,” katanya.
Dr. Mossavar Rahmani berkata, penemuan mereka itu mencadangkan kepada hubung kait namun tidak dapat membuktikan minuman diet menyebabkan kepada penyakit jantung dan strok.
Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Strokeon semalam, dan memasukkan data wanita berbeza yang dikesan selama 12 tahun. – AGENSI











