Pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus - Utusan Malaysia

Pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.7 peratus bagi suku keempat 2018 berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya sekali gus me­nunjukkan pengembangan positif terhadap ekonomi negara.

Ia membawa kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan seba­nyak 4.7 peratus pada 2018 dengan nilai KDNK berjumlah RM1.43 trilion.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, aktiviti sektor swasta dan pe­ningkatan dalam sektor komoditi berperanan sebagai pemacu kepada pertumbuhan KDNK bagi tempoh suku tersebut.

“Sektor berkaitan komoditi kembali mengekalkan momentum daripada gangguan pengeluar yang dialami sejak suku kedua, yang mana pertumbuhan lebih tinggi dilihat telah disumbangkan oleh industri perlombongan dan pertanian.

“Eksport barangan dan perkhidmatan yang kembali pulih juga telah menyum­bang kepada pertumbuhan eksport bersih yang positif. Sektor perkhid­matan yang disokong oleh perbelanjaan pengguna menunjukkan prestasi terus me­ngukuh, khususnya dalam segmen runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman prestasi ekonomi suku keempat 2018 di Bank Negara Malaysia di sini semalam.

Menurut Nor Shamsiah, negara berhadapan de­ngan suatu tempoh yang tidak pasti selepas Pilihan Raya Umum ke-14, namun tetap mencatatkan pertumbuhan KDNK seba­nyak 4.4 peratus bagi suku ketiga tahun lalu.

“Bagaimanapun, negara menunjukkan kemajuan dalam pelaburan awam pada tempoh suku ke­empat meskipun masih kabur dengan ketidaktentuan polisi atau hala tuju negara dan telah mencatat­kan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus kepada 4.7 peratus.

“Sementara itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) juga mencatatkan peningkatan pada suku keempat 2018 terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan kewangan yang disumbangkan oleh ekonomi maju seperti Belanda, Jepun dan Hong Kong,” ujarnya.

Malaysia merekodkan KDNK pada kadar 5.4 peratus bagi suku pertama 2018 sebelum menurun pada 4.5 peratus pada suku kedua.

Sementara itu, menjawab persoalan wartawan berkaitan jangkaan terhadap pengembangan ekonomi negara, beliau berkata, prestasi ekonomi Malaysia dijangka berge­rak pada landasan pertumbuhan yang stabil pada masa akan datang.

“Permintaan sektor swasta dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam keadaan rasionalisasi fiskal berte­rusan selain sektor lua­ran yang diunjur menjadi perlahan seiring dengan permintaan global yang semakin sederhana.

“Inflasi keseluruhan secara purata dijangka meningkat dengan kadar sederhana, malah kesan dasar cukai penggunaan terhadap inflasi keseluruhan pada tahun 2019 akan mula luput menjelang akhir­ tahun ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×