LONDON – Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera mengakui kekalahan 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) bagi aksi pertama saingan kalah mati Liga Juara-Juara tidak menjejaskan moral pemain pasukan The Red Devils.
Kekalahan itu menyaksikan United semakin sukar untuk melangkah ke suku akhir, namun Herrera yakin pasukannya mampu melihat dalam aspek positif daripada perlawanan tersebut.
“Saya merasakan keputusan itu tidak memberi kekecewaan buat pasukan kami berdasarkan cara kami tewas kepada PSG.
“Jika kami tewas disebabkan persembahan yang teruk daripada pasukan lawan, pastinya perkara itu amat mengecewakan kami.
“Perlawanan itu sebenarnya berlangsung dengan sengit sehinggalah kami dibolosi gol pertama.
“Bagaimanapun saya tidak mahu mengatakan United lebih bagus, tetapi PSG juga bukanlah lebih hebat daripada kami.
“Apa pun dalam bola sepak, setiap perkara yang berlaku sama ada menang atau kalah, ia akan menjadi pengajaran buat pasukan,” kata Harrera.
Meskipun mereka bakal bertandang ke tempat lawan tanpa perancang utama, Paul Pogba, Harrera bagaimanapun percaya kemenangan ke atas Tottenham Hotspur dan Arsenal dalam saingan liga sebelum ini telah menunjukkan mereka masih berada pada landasan yang betul. – Agensi











