Perlumbaan berisiko dibatalkan - Utusan Malaysia

Perlumbaan berisiko dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Feb. – Nasib sama ada perlumbaan jelajah berbasikal terbesar di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dapat dilangsungkan atau tidak mengikut tarikh yang ditunda kini di tangan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang akan menentukannya, Sabtu ini.

Buat masa ini status perlumbaan bertaraf 2.0 hors classe itu masih terumbang-ambing dan belum dapat dipastikan kesahihan penganjurannya gara-gara menunda tarikh di saat akhir.

Mengikut jadual asal, perlumbaan tahun ini sepatutnya berlangsung dari 24 hingga 31 Mac tetapi ditunda kepada 6 hingga 13 April atas permintaan Kabinet.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penundaan ini terpaksa dilakukan kerana tarikh tersebut bertembung dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac.

“Kita minta semua rakyat Malaysia berdoa dalam tempoh dua hari ini agar UCI meluluskan pertukaran tarikh tersebut.

“Jika tidak, kita boleh melupakan sahaja penganjuran LTdL tahun ini,” kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk LTdL 2019 di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, PKBM akan mengerahkan ke­semua kepakaran yang ada untuk meyakinkan UCI, termasuk Kesatuan Berbasikal Asia (ACC) dalam meluluskan pertukaran tarikh di saat akhir itu.

Ini katanya termasuk menggunakan pengaruh Bendahari PKBM, Datuk Amarjit Singh yang juga merupakan Ahli Lembaga Eksekutif UCI buat masa ini.

“Amarjit akan cuba yang terbaik untuk membantu merea­lisasikan penganjuran LTdL 2019 berikutan penundaan tarikh yang lewat hampir ­seminggu dari tarikh asal.

Sebagai rekod, KBS telah melantik Human Voyage sebagai kontraktor pengurus acara bagi LTdL 2019 kali ini.

Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk PKBM sendiri menyuarakan kebimbangan penundaan tarikh perlumbaan akan memberi kesan buruk, terutama ke­sukaran mendapatkan penyertaan pasukan terbaik Eropah.

Ini kerana pasukan Pro Tour, terutama dari Eropah mungkin menarik diri kerana perlumbaan bertembung dengan kalendar kejohanan antarabangsa yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×