KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tindakan enam bekas ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak akan menimbulkan masalah sekiranya niat mereka jujur dan boleh dipercayai.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima penyertaan semua ahli baharu tersebut walaupun tidak mengetahui niat sebenar mereka.
Bagaimanapun, Rafidah memberi amaran, semua wakil rakyat tersebut akan menerima balasan setimpal sekiranya mempunyai niat tidak baik untuk menyertai Bersatu.
“Kalau mereka berniat baik semuanya akan jadi baik tetapi kalau mereka berniat sebaliknya, mereka akan terima balasannya,” katanya seperti dipetik daripada portal Malaysiakini di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status pilihan partinya ketika ini, Rafidah mengesahkan beliau masih belum menyertai mana-mana parti walaupun ada khabar angin yang mengaitkannya dengan Bersatu.
Menurut Rafidah, beliau sebelum ini pernah berjanji dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai parti pimpinannya tetapi terlupa untuk mengambil borang keahlian.
“Setakat ini saya tidak berminat untuk sertai Bersatu, jadi saya tidak ada kaitan dengan mana-mana parti. Jadi ahli politik untuk segelintir parti tidak akan selamanya berkekalan, kad ahli tidak boleh dibawa ke kubur pun,” katanya.
Rafidah menambah, walaupun sudah lebih 40 tahun menjadi ahli UMNO, beliau tidak menyesal keluar daripada parti tersebut kerana tidak mahu dikaitkan dengan kleptokrat.











